Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini memutuskan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib perlu membayar mutaah RM30 juta kepada bekas isterinya.

Hakim Mohamad Abdul Karim Wahab memutuskan Shahnaz A Majid berhak menerima tuntutan mutaah dan mahkamah perlu menentukan kadar yang ditetapkan.

Mohamad Abdul Karim juga menerima keterangan saksi pakar perakaunan bertauliah bagi pihak Shahnaz, Andrew Heng, walaupun mahkamah mengakui ada beberapa kelonggaran dalam anggarannya.

"Defendan (Mahmud Abu Bekir) atau peguamnya gagal mempertikaikan kelemahan itu," katanya.

Mahmud Abu Bekir adalah anak bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Pasangan berkenaan berkahwin pada 9 Januari 1992 tetapi hidup berasingan sejak 1999 sebelum disahkan bercerai pada 11 Mei 2011.

Mohamad Abdul Karim juga mengarahkan bayaran itu dibuat melalui tiga peringkat iaitu RM10 juta setiap satu.

"Ini adalah jumlah yang wajar berdasarkan bukti dan dapat menghapuskan duka pihak isteri," katanya.

Sebelum ini Shahnaz - yang juga kakak ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid - menuntut bayaran nafkah sebanyak RM100 juta daripada bekas suaminya itu.

Shahnaz juga memfailkan tuntutan RM300 juta bagi harta sepencarian.

Bagaimanapun perbicaraan mengenai tuntutan itu belum bermula.

Satu lagi tuntutan Shahnaz bernilai RM121 juga sebagai nafkah membesarkan anak mereka ditolak Mahkamah Rayuan Syariah.

[Baca berita penuh]

Sementara itu Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini memerintahkan anak kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib membayar tuntutan mutaah RM30 juta kepada bekas isterinya, Shahnaz Abdul Majid.

Hakim Syarie, Muhamad Abdul Karim Wahab bagaimanapun membenarkan Mahmud Abu Bekir, 53, selaku defendan, membayar nafkah mutaah itu secara ansuran selama tiga bulan bermula 31 Mac ini.

Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas memutuskan bahawa Shahnaz, 53, selaku plaintif, berhak menerima tuntutan (RM30 juta) selain mengambil kira kesedihan akibat diabaikan lebih 10 tahun oleh Mahmud Abu Bekir.

Mahkamah juga berpendapat tuntutan mutaah yang dibuat sebelum ini iaitu RM100 juta adalah keterlaluan.

Menurutnya, mahkamah mengambil kira jumlah itu berdasarkan kemampuan defendan, nilai aset yang melebihi RM1 billion dan perbelanjaan sekali gus defendan yang mencecah RM1 juta serta kesedihan yang dialami oleh plaintif.

"Dengan jumlah tersebut (RM30 juta), mahkamah berpendapat ia adalah berkadar dan wajar terhadap defendan dan setidak-tidaknya mampu menghapuskan duka hati sebagai seorang bekas isteri," katanya sambil menambah beberapa kenderaan dan banglo mewah termasuk di Sarawak yang diberikan kepada Shahnaz hanya sebagai hadiah bukan sebahagian daripada tuntutan mutaah tersebut.

Pasangan itu, yang berkahwin pada 9 Jan 1992, dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya, 23, namun pada pada 11 Mei 2011 mereka bercerai dengan talak satu.

Pada 9 Jun 2011, Shahnaz memfailkan tuntutan mutaah tersebut sebanyak RM100 juta.

Terdahulu, Muhamad Abdul Karim berkata mahkamah berpendapat tindakan Mahmud Abu Bekir meninggalkan isterinya itu tanpa sebab dilihat sebagai satu pengabaian yang tidak boleh diambil mudah dan tidak boleh dimaafkan.

Beliau juga berkata, mahkamah bersetuju dengan mengambil kira bahawa terdapat laporan dan bukti bahawa Mahmud Abu Bekir mempunyai wanita lain walaupun masih beristerikan Shahnaz.

Mahmud Abu Bekir diwakili peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Saadiah Din.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Shahnaz bersama peguam Dr Mohd Rafie Shafie dan Datuk Akhbardin Abdul Kadir, kelihatan gembira dengan keputusan tersebut walaupun jumlah itu tidak seperti yang dituntut.

Shahnaz, yang juga kakak ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid, turut berkata beliau akan berbincang langkah selanjutnya bagi menyelesaikan beberapa lagi perkara selain merancang menggunakan wang tersebut untuk membantu golongan tidak bernasib baik.

Sementara itu, Zainul Rijal berkata anak guamnya mengarahkannya untuk memfailkan permohonan bagi menangguhkan perintah tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu.

Lihat Komen
ADS