Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pulau Pinang diminta senaraikan rumah mampu milik
Diterbitkan:  Mar 14, 2016 6:53 PM
Dikemaskini: 12:02 PM

Pemuda Gerakan Pulau Pinang meminta kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP mengemukakan senarai perumahan mampu milik yang diluluskan sebelum dan selepas garis panduan perumahan kerajaan negeri dikeluarkan.

Ketua Biro Pengaduan Awam Pemuda Gerakan negeri Jason Loo berkata ia bertujuan untuk memastikan sama ada projek-projek perumahan mampu milik yang diluluskan di negeri ini mengikut garis panduan atau sebaliknya.

"Kita boleh lihat berapa banyak projek yang sebenarnya mengikut garis panduan perumahan kerajaan negeri," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan garis panduan perumahan oleh kerajaan negeri hanya 87 unit rumah dibenarkan dibina dalam setiap 0.4 hektar tanah, namun projek kondominium Quay West Residence di Bayan Baru akan dibina dengan kepadatan dua kali ganda daripada yang dibenarkan.

Beliau mempersoalkan bagaimana pemaju projek perumahan itu dibenarkan untuk membina 167 unit rumah bagi 0.4 hektar tanah sedangkan garis panduan sedia ada hanya membenarkan 87 unit rumah.

Majlis pecah tanah projek kondominium Quay West Residence yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng bulan lepas dibina di atas tanah seluas 7.4 hektar dan menawarkan sebanyak 1,235 unit rumah dengan 253 unit adalah rumah mampu milik.

Loo turut mempersoalkan bagaimana 253 unit rumah itu diklasifikasikan sebagai rumah mampu milik sedangkan ia dijual pada harga RM400,000.

Sementara itu, Pengerusi jawatankuasa Perumahan, Bandar dan Perancangan Desa Negeri Jagdeep Singh Deo dalam sidang media yang berasingan berkata kerajaan negeri kini dalam perancangan untuk melaksanakan 12 projek di lima daerah yang mampu menyediakan sebanyak 22,512 unit rumah mampu milik pelbagai jenis.

Beliau berkata projek itu akan dilaksanakan antaranya di Jalan S.P Chelliah, Sandiland, Teluk Kumbar, dan Jelutong di sebelah pulau dan Kampung Jawa, Ampang Jajar, Bukit Mertajam dan Juru di tanah besar.

"Dalam tempoh 2008 hingga 2015, sebanyak 8,092 unit rumah mampu milik berharga RM42,000 (dahulu dikenali kos rendah) dan sebanyak 8,107 unit rumah mampu milik berharga RM72,500 (dahulu dikenali kos sederhana rendah) dibina di Pulau Pinang," kata beliau.

Pada 19 Januari, kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP mengumumkan penjenamaan semula rumah kos rendah dan kos sederhana sebagai rumah mampu milik jenis A dan B.

Melalui penjenamaan itu, rumah kos rendah berharga RM42,000 sebuah sekarang dikenali sebagai rumah mampu milik jenis A dan rumah kos sederhana berharga RM72,500 sebuah pula dikenali sebagai rumah mampu milik jenis B.

Selain itu, rumah berharga RM150,000 sebuah akan dikenali sebagai rumah mampu milik jenis C; rumah berharga RM200,000 dikenali sebagai jenis D; rumah berharga RM300,000 sebagai jenis E, dan rumah berharga RM400,000 sebagai jenis F.

-Bernama

Lihat Komen
ADS