Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas lebih 40 tahun bergelumang dalam politik veteran Umno Datuk Seri Shahrir Samad membayangkan masa aktifnya dalam dunia itu akan menemui penamatnya.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, beliau yang pernah berkhidmat sebagai menteri berkata: "Saya harap tidak."

Katanya, beliau tidak mahu menjadi seperti veteran DAP Lim Kit Siang yang berterusan terbabit dalam dunia politik.

"Anda fikir saya akan menjadi ahli politik seumur hidup?" katanya menjawab pertanyaan tentang apa yang bakal dilakukannya selepas ini.

Shahrir adalah antara nama besar dalam Umno serta mempunyai pelbagai warna.

Beliau pernah dipecat daripada Umno dan meletakkan jawatannya sebagai ahli parlimen pada 1988.

Shahrir bertanding - dan memenangi - pilihan raya kecil Parlimen Johor Bahru atas tiket bebas pada tahun berkenaan.

Menteri besar jadi bukti

Ketika itu Umno berdepan krisis dalaman yang kemudian menyaksikan pengharaman parti berkenaan serta kemunculan Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah.

Shahrir juga pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara serta Pengerusi Kelab Penyokong BN.

Ditanya mengapa beliau mempertimbangkan kemungkinan enggan bertanding lagi di Johor Bahru Shahrir berkata dia mahu memberi laluan kepada tokoh muda di situ.

"Ikrar saya ialah, anda mesti meyakini orang muda. Jika anda tidak mampu menunjukkan (keyakinan) itu, maka untuk apa anda bercakap mengenainya?" katanya.

Malah kata Shahrir, bekar setiausaha politiknya - Datuk Khaled Nordin - kini sudah menjadi Menteri Besar Johor dan ia menjadi bukti kepada pendiriannya.

Shahrir, 66, dilantik sebagai setiausaha politik kepada Tun Musa Hitam pada 1973 sebelum dipilih sebagai calon BN bertanding di kerusi parlimen Johor Bahru pada 1978.

Lihat Komen
ADS