Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Batal biasiswa ke luar negara, PERKASA mohon campurtangan Agong

PERKASA hari ini menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah bagi membantah keputusan pembatalan 744 biasiswa pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Ketua Wira PERKASA Malaysia, Irwan Fahmi Ideris berkata PERKASA memohon perkenan baginda untuk campur tangan dalam hal tersebut sekali gus mengembalikan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu kepada pelajar terlibat.

“PERKASA menganggap pembatalan ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dari kerajaan Malaysia yang mana biasiswa merupakan hak istimewa Bumiputera seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah Perkara 153.

“Justeru, PERKASA memohon perkenan Tuanku untuk membantu mengembalikan semula biasiswa yang telah dibatalkan itu,” kata Irwan dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Dewan Rakyat sebelum ini dimaklumkan sebanyak RM240 juta dapat dijimatkan setahun apabila kerajaan membatalkan biasiswa berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulisnya di parlimen berkata sehingga kini jumlah pelajar yang belajar di luar negara dan di bawah tanggungan kerajaan adalah 7,736 orang.

Namun Azalina kemudian menjelaskan kerajaan tidak memansuhkan sebarang biasiswa JPA, tetapi diteruskan kepada pelajar yang mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama di dalam negara.

Potong gaji menteri

Mengulas lanjut, Irwan berkata kerajaan tidak sepatutnya menjadikan pelajar sebagai mangsa ekoran kegagalannya mengurus tadbir negara selain gagal menangani gejala rasuah.

Beliau turut mencadangkan kerajaan memotong gaji menteri dan menangani isu penyelewengan seperti didakwa berlaku dalam Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini.

“Di sini cukup jelas disebabkan kegagalan kerajaan mengurus tadbir negara hingga mengalami masalah kewangan yang buruk menyebabkan biasiswa pelajar ditarik.

"Sepatutnya kerajaan mengambil tindakan memotong gaji mereka (menteri), kurangkan gaji mereka atau semak semula aktiviti rasuah dalam negara seperti mana yang berlaku dalam KBS yang jumlahnya RM100 juta,” kata Irwan yang menegaskan biasasiswa merupakan tanggungjawab kerajaan.

Lihat Komen
ADS