Peluang kedua untuk Tengku Mahaleel di Proton
Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff berjaya melepasi satu lagi "cubaan penyingkirannya" di Proton Holdings Bhd dalam tempoh 10 bulan ini, yang turut menyaksikan perletakan jawatan Datuk Abu Hassan Kendut dari jawatan pengerusi.
Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff berjaya melepasi satu lagi "cubaan penyingkirannya" di Proton Holdings Bhd dalam tempoh 10 bulan ini, yang turut menyaksikan perletakan jawatan Datuk Abu Hassan Kendut dari jawatan pengerusi.
Menurut Bernama , April tahun lalu, terdapat cubaan untuk menyingkirkan Tengku Mahaleel tetapi turut gagal dan "penyelamatnya' ialah Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang pastinya berpegang kepada prinsip "mengapa perlu diperbaiki kalau ianya masih lagi elok".
Bekas perdana menteri itu juga menyangkal dakwaan bahawa Proton tidak diuruskan dengan baik. Pendapatan suku kedua syarikat itu meningkat 35 peratus tahun-atas- tahun kepada RM2.3 bilion. Malahan, bagi tahun kewangan 2005, beberapa penganalisis mengunjurkan keuntungan bersih yang besar kira-kira RM700 juta.
"Tidak banyak syarikat kerajaan yang mencatatkan prestasi baik tetapi Proton berjaya melakukannya dan berada di belakang selepas Petronas," kata Dr Mahathir, yang sepanjang tempoh 22 tahun pentadbirannya, jarang bersungguh-sungguh tampil untuk mempertahankan CEO sesebuah syarikat berkaitan kerajaan.
Menurutnya lagi, Proton tidak mengalami kerugian sejak beberapa tahun ini dan bahagian pasarannya yang rendah di Malaysia adalah dalam konteks jumlah jualan domestik tinggi.
Kini, Tengku Mahaleel yang memperolehi peluang keduanya, perlu memikirkan ikhtiar-ikthtiar untuk memajukan lagi Proton dalam dekad ketiganya. Bekas pemandu rali dan eksekutif Shell itu sudah agak lama bersama Proton selepas menyertainya pada 1996 sebagai naib presiden bahagian perancangan strategik.
Dari semata-mata syarikat pemasang, Tengku Mahaleel berjaya mengubah pengeluar kereta nasional itu kepada sebuah syarikat berasaskan teknologi automotif dengan keupayaan penyelidikan dan pembangunan sendiri di kilang pengeluaran canggihnya yang bernilai RM1.8 bilion di Tanjong Malim.
Keupayaan kejuruteraan
Sejak beberapa tahun ini juga, Proton telah memperkasakan lagi keupayaan kejuruteraannya dengan mengambil alih Lotus Cars, syarikat kereta sport dan penyelidikan automotif utama British.
Memandangkan ciri-ciri kompetitif perniagaan automatif, Tengku Mahaleel kini terpaksa berdepan dengan pembukaan pasaran dalam pasaran tempatan berikutan pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta).
Bagaimanapun, pasaran tempatan "dilindungi" buat sementara waktu berikutan pengenaan duti eksais yang tinggi yang menjadikan isu harga kereta nasional kembali kepada asalnya, sekiranya pembeli kereta tempatan mula memikirkan harga kereta akan lebih murah dengan pelaksanaan Afta.
"Untuk harga Perdana V6, seseorang boleh membeli model terbaru BMW 318i atau Mercedes-Benz C200 atau Honda Accord dalam banyak pasaran antarabangsa" merupakan keluhan biasa di kalangan pengguna Malaysia yang terpaksa menanggung cukai import dan duti eksais yang tinggi.
Nampaknya duti tinggi akan menjadi perbincangan hangat di parlimen atau mesyuarat rasmi di Malaysia apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz, baru-baru ini berkata, tiada kerajaan yang mahu mengorbankan pendapatan cukainya.
Tetapi bagi Proton, bukan hanya pasaran tempatan yang perlu dirisaukannya tetapi juga pasaran luar negara. Dengan pengeluar kereta Korea Selatan terus mengembangkan sayapnya di Eropah dan Amerika Utara, malahan pengeluar China juga telah menembusi pasaran Malaysia, Proton perlu meningkatkan lagi penguasaan antarabangsanya dan menjual lebih banyak kereta.
Sambutan kurang baik
Masalah sekarang ialah bukan untuk menarik lebih banyak pembeli kereta tempatan tetapi pembeli dari negara-negara lain.
Model Gen.2 yang hebat diperkatakan sebelum pelancarannya, tidak mendapat ulasan seperti yang diharapkan dari pasaran luar negara terutama dengan kritikan terhadap keadaan dalaman dan darjah penglihatan bahagian belakang kereta yang tidak begitu baik.
Kecuali sambutan menggalakkan bagi Jumpbuck (Arena) di Australia, jualan luar negara tidak mencatatkan prestasi yang baik serta juga dalam negara. Dan apatah lagi jualan Juara, kenderaan pelbagai guna Proton yang tidak mendapat sambutan.
Ura-ura bahawa Proton mungkin mengembangkan sayapnya ke India dan China, dua pasaran pengguna terbesar di dunia, masih belum membuahkan hasil. Model penggantian bagi Satria dan Tiara juga belum lagi dilancarkan meskipun Proton telah menghasilkan prototaipnya.
Dr Mahathir berkata Proton masih memerlukan khidmat Tengku Mahaleel walaupun beberapa anggota lembaga Proton mahu mengenepikannya. Intipati hujah Dr Mahathir adalah "Tiada aduan nyata Proton tidak diuruskan dengan baik," di bawah kepimpinan Tengku Mahaleel.
Dikatakan bahawa kemungkinan terdapat beberapa pihak yang tidak suka dengan cara Tengku Mahaleel mengendalikan syarikat itu. Pelbagai kritikan dilemparkan daripada pendekatannya kepada kejuruteraan hinggalah kepada isu-isu teknikal dan pemasaran.
Tetapi terdapat juga desus-desas terdapat beberapa pengarah dalam Proton yang mempunyai tabiat suka menyingkirkan orang, yang telah menjadi "ciri-ciri khusus" mereka sejak 20 tahun lalu, pada bila-bila masa sahaja yang mereka mahu.
Namun, kini semua bergantung kepada bagaimana Tengku Mahaleel boleh mengawal dan memanfaatkan faedah kerjasama strategik bukan ekuiti Proton dengan Volkswagen, yang menurut Dr Mahathir, satu pengiktirafan kepada kedudukan Proton.
"Kereta-kereta Volkswagen pada pandangan saya adalah sebaik kereta Mercedes-Benz. Saya sering memandu Volkswagen (Phaeton) yang Proton beli dan pinjamkan kepada saya," kata Dr Mahathir, sambil menambah beliau berharap kerjasama itu akan membawa pengetahuan baru kepada Proton dari segi membina kereta dengan kualiti utama.
Dengan banyak perkembangan "tersembunyi" yang berlaku dalam kerjasama dengan Volkswagen, setiap rakyat Malaysia pastinya berharap kereta yang akan dikeluarkan oleh Proton itu akan menjadi suatu yang diperkatakan dalam Tahun Ayam ini.

