Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Putrajaya: Media Australia sahkan kenyataan Najib
Diterbitkan:  Mar 30, 2016 3:37 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Media Australia telah mengesahkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan penemuan pihak berkuasa Malaysia bahawa wang yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadi beliau adalah sumbangan dari keluarga diraja Arab Saudi, kata Putrajaya.

"Siasatan termasuklah pemeriksaan forensik ke atas setiap pindahan," kata seorang jurucakap kerajaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.

“Pihak berkuasa Malaysia turut dihantar ke Arab Saudi untuk meneliti dokumen dan menemubual anggota keluarga diraja serta pegawai yang mengendalikan derma berkenaan.

"Seperti dinyatakan dalam surat dari Arab Saudi yang dibocorkan, derma itu adalah hadiah kepada perdana menteri atas usahanya mempromosi kesederhanaan dalam Islam dan kepemimpinannya membanteras keganasan serta ekstremisme, selain inisiatif melancarkan Gerakan Kesederhanaan Global.

"Kandungan surat berkenaan jelas menunjukkan derma itu boleh digunakan oleh Perdana Menteri seperti mana yang difikirkan patut dan akan dipindahkan secara terus atau melalui syarikat milik penderma, tanpa mengharapkan sebarang manfaat sebagai balasan," kata jurucakap itu.

Semalam, Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) menerbitkan surat itu adalah daripada putera Arab Saud Abdulaziz Majid kepada Najib.

Bukan rasuah

Dalam surat itu, putera itu menjanjikan AS$ 375 juta kepada perdana menteri dengan berkata Najib boleh melakukan apa sahaja yang disukainya dengan pemberian itu.

Lambang surat rasmi itu menunjukkan ia adalah pejabat peribadi "Saud Abdulaziz Majid al Saud" manakala surat itu pula kononnya ditandatangani oleh "HRH Putera Saud Abdulaziz Al-Saud".

Putera Abdulaziz Majid adalah cucu kepada Allahyarham Raja Abdulaziz - raja pertama keluarga Saud.

Beliau adalah gabenor kota suci Madinah pada masa surat itu ditulis iaitu bertarikh, 1 November, 2011.

"Surat ini dikeluarkan sebagai niat baik dan bagi penjelasan. Saya tidak mengharapkan apa-apa kepentingan peribadi sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada pemberian itu.

"Pemberian itu tidak seharusnya dianggap sebagai rasuah kerana ini adalah bertentangan dengan amalan Islam, dan saya secara peribadi tidak menggalakkan amalan tersebut dalam apa cara sekalipun," kata surat itu.

Najib telah berulang kali menafikan bahawa beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi, dan menyalahkan individu tertentu mengadakan komplot untuk menggulingkannya.

Pengkritiknya, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tetap tidak yakin dan terus menyerang Najib berhubung wang yang disalurkan ke dalam akaun banknya.

Sebelum ini, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

Lihat Komen
ADS