Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Masyarakat baru-baru ini dikejutkan dengan laporan insiden pergaduhan dua keluarga pengantin di Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang dikatakan berpunca daripada wang hantaran yang tidak memadai.

Rakaman pergaduhan itu menjadi viral di media sosial, ditonton jutaan rakyat Malaysia dan mendapat liputan meluas media massa.

Lebih malang, pergaduhan dan kekecohan itu berlaku di kawasan perkarangan masjid yang sepatutnya dijaga dan dipelihara kesuciannya.

Sudahlah 'masjid' baru untuk menyatukan dua jiwa itu gagal dibina, sebaliknya insiden memalukan pula yang berlaku.

Tidak diketahui sama ada wang hantaran adalah punca sebenar-benarnya kejadian, tetapi itu yang diperkatakan berdasarkan laporan awal media.

Bagaimanapun, penulis tidak berminat membicangkan pergaduhan dua keluarga tersebut, sebaliknya sekadar mahu menyentuh polemik mengenai wang hantaran yang sekali lagi menjadi perbualan dan perbincangan hangat masyarakat.

Kos hidup makin tinggi

Mengikut definisi, hantaran adalah sejumlah wang yang diberikan pihak lelaki kepada pihak pengantin perempuan yang kebiasaannya digunakan untuk belanja kahwin, atau juga disebut sebagai belanja hangus.

Nilai hantaran pula subjektif mengikut keluarga, bergantung kepada perjanjian antara pihak perempuan dan lelaki. Hantaran bukanlah perkara yang wajib ke pengantin lelaki seperti kewajipan memberikan mas kahwin yang ditetapkan oleh syarak.

Wang hantaran juga tidak jauh berbeza mengikut negeri dan kenaikannya sejajar dengan perubahan zaman.

Seingat saya, jika di tahun-tahun 90an dulu, wang hantaran bagi orang kebanyakan hanya dalam lingkungan sekitar RM2,000 hingga RM5,000 berbanding purata RM10,000 hingga RM15,000 pada masa ini.

Lazimnya peningkatan ini disebabkan kenaikan kos hidup dan kenaikan harga barangan. Sesetengah keluarga perempuan mungkin menetapkan hantaran yang mahal kerana membandingkan kos kehidupan pada masa ini.

Pada masa ini, untuk perbelanjaan seperti sewa kanopi, katerer, sewa pelamin, mak andam dan jurugambar misalnya mencecah antara RM30,000 hingga RM50,000.

Tidak ada masalah jika seseorang itu kaya dan mampu menyediakan wang sebanyak itu. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang berpendapatan kecil? Bagi golongan muda yang baru sahaja membina kerjaya, keadaan ini pasti akan membebankan mereka.

Dahulu dan sekarang

Jika dahulu, kos belanja perkahwinan masih boleh diterima akal. Di kampung (seperti di Negeri Sembilan) misalnya, ada majlis yang dipanggil majlis 'berkampung' sebelum menyusul hari bersanding.

Tujuan hari berkampung ini adalah untuk memberitahu dan berbincang dengan orang kampung, sahabat handai dan saudara mara terdekat tentang majlis perkahwinan anak yang akan diraikan.

Di situlah mereka berpakat-pakat membantu sedikit sebanyak dari sudut kewangan untuk meringankan beban tuan rumah. Jika tidak mampu dari sudut kewangan, bantuan tenaga dengan tulang empat kerat akan dihulurkan.

Namun amalan berkenduri kendara itu semakin lama semakin terhakis dek kerana peredaran zaman dan semakin kurangnya peranan dimainkan golongan muda. Amalan bergotong royong untuk memasak lauk pauk kini diganti dengan perkhidmatan katerer.

Dahulu, khidmat mak andam atau bayaran pelamin juga tidak semahal sekarang. Mengupah DJ lengkap dengan set karaoke dan jurugambar dengan bayaran ribuan ringgit juga bukan suatu keperluan. Khemah kenduri yang didirikan juga tidak segagah kanopi kenduri kahwin di zaman sekarang.

Tetapi itu dahulu. Zaman sudah jauh berubah. Angka belanja untuk perkahwinan terus meningkat selari dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan, sedangkan kadar pendapatan pula tidak banyak berubah dan kuasa membeli semakin susut.

Pinjam bank dan akhirnya bercerai

Lebih malang, ada pasangan yang terpaksa meminjam daripada bank untuk meraikan hari mereka sebagai raja sehari. Ia kedengaran agak keterlaluan tetapi itulah realiti yang dihadapi sebahagian golongan muda di Malaysia.

Bayangkan, majlis yang hendak diraikan hanyalah dalam tempoh sehari, tetapi akibat berbelanja besar pasangan pengantin terpaksa menanggung hutang bertahun-tahun lamanya.

Akibatnya beban kewangan semakin bertambah selepas berkahwin semata-mata kerana mahu membayar balik pinjaman beserta faedah kepada pihak bank.

Ada pasangan yang mungkin sudah beranak pinak, tapi hutang kahwinnya masih tidak langsai.

Inilah yang menjadi antara punca masalah kewangan kepada golongan muda yang secara langsung turut menyumbang kepada statistik penceraian di Malaysia. Tersangat malang sekiranya rumahtangga yang beberapa tahun didirikan berakhir dengan penceraian gara-rara di kelilingi hutang perkahwinan.

Sampai bila?

Persoalannya sampai bilakah isu mengenai wang hantaran dan perkahwinan besar-besaran ini akan terus berlegar dalam masyarakat? Agama Islam sendiri tidak menganjurkan pemberian wang hantaran atau mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran sehingga menyulitkan sama ada di pihak lelaki atau perempuan.

Namun apakah masyarakat kita benar-benar faham dan sedar?

Apakah masyarakat kita bersedia menerima majlis perkahwinan yang sederhana, misalnya dengan hanya menjamu tetamu dengan nasi lemak, kopi o dan karipap? Bersediakah kita menerima majlis sebegitu tanpa bercakap-cakap di belakang kemudiannya?

Memang tidak salah untuk mengikut adat dan budaya tetapi biarlah berbelanja dengan mengukur baju di badan sendiri.

Tidak perlu belanja berlebih-lebihan sekiranya tidak mampu kerana apa yang lebih penting adalah kehidupan selepas ke jinjang pelamin.


Penulis adalah anggota sidang ridaksi Malaysiakini

Lihat Komen
ADS