Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Terengganu anggap 2016-2017 'tahun perang'

Umno Terengganu mengisytiharkan 2016-2017 sebagai 'Tahun Perang' sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata Umno negeri sedang mengatur strategi untuk memenangi semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kawasan Parlimen pada PRU nanti.

"Umno negeri akan mengagihkan bantuan kewangan kepada cawangan-cawangan bagi persiapan bilik gerakan atau membina markas-markas pilihan raya serta menyediakan apa saja keperluan melibatkan RM5,000 setiap cawangan.

"Ini menunjukkan kesungguhan Badan Perhubungan UMNO untuk menghadapi PRU kerana merasakan ini merupakan masa terbaik untuk merapatkan semula saf kepimpinan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis perjumpaan khas kepimpinan akar umbi Umno negeri di Kuala Nerus, hari ini.

Sebanyak 4,401 pemimpin peringkat bahagian, cawangan, sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno menghadiri perjumpaan itu.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Serikandi ke-29 di Besut, Ahmad Razif berkata, rakyat Terengganu dilihat semakin matang dan tidak terpengaruh dengan pelbagai isu dibangkitkan pihak tertentu bagi menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, tinjauan dibuatnya mendapati isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma berjumlah RM2.6 bilion kepada perdana menteri tidak mengikis kepercayaan rakyat negeri ini terhadap kepimpinan negara.

"Rakyat Terengganu dilihat lebih memilih untuk ambil tahu mengenai isu-isu mempertingkatkan kehidupan mereka daripada isu-isu yang sia-sia seperti yang ditimbulkan oleh pihak yang mempunyai kepentingan peribadi," katanya.

Ahmad Razif yakin dengan perkembangan yang ditunjukkan oleh rakyat itu, Terengganu akan terus dikuasai Barisan Nasional (BN) dalam PRU akan datang.

-Bernama

Lihat Komen
ADS