Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Derma atau dana 1MDB? Siasatan Luxembourg ada jawapan

Rakyat Malaysia mungkin tertanya-tanya mengapa sebuah negara kecil di Eropah juga melancarkan siasatan global ke atas skandal 1MDB, tetapi hasil siasatan itulah yang akan mempunyai kesan besar ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebagai permulaan, siasatan Luxembourg itu tidak menunjukkan bahawa ia mempunyai sebarang kaitan dengan Najib.

Tetapi siasatan Luxembourg adalah penting kerana ia boleh menyelesaikan kaitan penting - hubungan antara 1MDB dengan beberapa entiti yang telah bermurah hati menyalurkan berbilion-bilion ringgit yang didakwa sebagai derma ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Berita ABC pada Selasa lalu yang memetik rekod bank Najib, mendedahkan bahawa AS$1.051 bilion (RM4.2 bilion) di akaun peribadi perdana menteri berasal daripada entiti seperti Kementerian Kewangan Arab Saudi, Putera Faisal bin Turki bin Bandar Alsaud, Kewangan Tanore (BVI ) dan Blackstone Asia Real Estate Partners Ltd (BVI).

Pejabat Perdana Menteri mendakwa entiti Arab itu adalah bukti yang Najib sentiasa tegaskan - wang itu adalah sumbangan Arab dan sebarang dakwaan mengaitkannya dengan 1MDB adalah salah.

Jadi bagaimana kaitan ini dengan penyiasatan Luxembourg?

The Wall Street Journal hari ini melaporkan bahawa Kumpulan Banque Privee Edmond De Rothschild Group di Luxembourg yang menguruskan dana untuk pelanggan kaya, mengesahkan ia sedang bekerjasama dengan penyiasat di negara itu bagi menentukan sama ada dana 1MDB mengalir ke dalam bank swasta berkenaan.

Walau bagaimanapun, sebelum pihak berkuasa Luxembourg mengumumkan siasatannya, Sarawak Report pada Januari lalu telah memberi tumpuan kepada Banque Privee Edmond De Rothschild.

Portal pendedah maklumat itu, secara khusus mengeluarkan dokumen yang menunjukkan bahawa akaun Khadem Al-Qubaisi di Banque Privee Edmond De Rotschilde di Luxembourg di bawah nama 'Amanah Vasco’ menerima deposit AS$ 472.75 bilion antara 29 Mei 2012 dan 4 Disember 2012.

Wang itu berasal daripada Blackstone Asia Real Estate Partners Ltd (BVI), syarikat pesisir luar yang sama yang menyalurkan sekurang-kurangnya AS$120 juta (RM480 juta) ke akaun bank peribadi Najib antara 3 Januari 2012 dan 23 Mei 2012.

Khadem sebelum ini adalah Pengerusi Aabar Investments PJS, anak syarikat dana pelaburan Abu Dhabi, iaitu International Petroleum Investment Companya (IPIC) yang mana beliau juga adalah pengarah urusan. Kedua-dua entiti itu mempunyai urusan perniagaan dengan 1MDB.

Siasatan Luxembourg dipercayai tertumpu ke atas akaun Khadem dalam Banque Privee Edmond De Rotschilde.

Ini berdasarkan hakikat bahawa kenyataan pendakwa raya Luxembourg yang berkata siasatan "bertujuan untuk mengesan asal-usul empat pemindahan wang yang berlaku pada tahun 2012" yang selaras dengan empat transaksi yang pertama didedahkan oleh Sarawak Report pada bulan Januari.

Empat urusniaga yang diterima oleh Khadem daripada Blackstone Asia Real Estate Partners Limited (BVI) dalam tempoh tujuh bulan bermula dengan deposit AS$158 juta pada 29 Mei 2012 dan kemudiannya AS$ 100.75 juta, AS$ 129 juta dan AS$ 85 juta yang dipindahkan pada 3 Ogos, 31 Oktober dan 4 Disember, berjumlah AS$ 472.75 juta.

Kenyataan pendakwa raya Luxembourg itu berkata penyiasat juga sedang menjejaki asal urus niaga lain pada tahun 2013, yang merujuk kepada deposit AS$ 20.75 juta yang diterima oleh Khadem pada 2 Februari tahun berkenaan daripada Good Star Limited, juga diketengahkan oleh portal pendedah maklumat itu pada bulan Januari.

Good Star Limited dikawal oleh sekutu Najib dan jutawan kelahiran Pulau Pinang Jho Low.

Syarikat itu dituduh memindahkan AS$1.030 bilion daripada usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International, tetapi 1MDB menegaskan semua wangnya dalam perjanjian itu telah disahkan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS