Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bayaran Jakel adalah sumbangan Najib kepada kebajikan
Diterbitkan:  Apr 4, 2016 6:50 PM
Dikemaskini: 1:43 PM

Bayaran puluhan juta ringgit kepada gedung pakaian Jakel oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah untuk sumbangan pakaian dan barangan kepada pelbagai pihak.

Laman web pro Najib Mykmu.net berkata sumbangan itu disampaikan kepada pertubuhan bukan kerajaan, mangsa bencana alam sekitar, pakaian anak yatim dan sayap-sayap politik.

Laman web itu turut mendakwa Malaysiakini dan portal media antarabangsa cuba menonjolkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor membeli belah dengan boros di gedung pakaian berkenaan.

"Belum ada orang gila beli baju di Jakel berpuluh juta ringgit untuk kegunaan sendiri.

"Jika benar ia pembelian peribadi, berdasarkan harga pakaian Jakel yang merupakan harga dalam kemampuan majoriti rakyat Malaysia, Najib Razak mungkin terpaksa menyewa gudang untuk menyimpan kesemua pakaian tersebut," jelas laman web itu.

Sumbangan mangsa banjir, anak yatim

Memetik sumber, Mykmu berkata Jakel membekalkan pakaian, selimut dan lain-lain barangan untuk mangsa bencana alam, selain membeli pakaian untuk anak yatim sempena hari raya yang dibiayai perdana menteri sendiri.

"Malah difahamkan sumbangan permaidani masjid oleh perdana menteri juga dibayar kepada Jakel trading sebagai pembekal," jelasnya.

Menurut Mykmu, Jakel bukanlah gedung membeli belah pakaian mewah seperti di United Kingdom dan Amerika Syarikat yang memungkinkan hanya beberapa ratus helai pakaian mencecah puluhan juta ringgit.

"Sebaliknya kita tahu saban tahun perdana menteri, Umno dan sayap-sayap Umno, NGO yang mengadakan acara membeli pakaian hari raya untuk anak-anak yatim di Jakel menggunakan sumbangan perdana menteri Najib Razak.

"Mohd Najib juga sering mengumumkan bantuan dan sumbangan dalam bentuk pakaian dan selimut kepada mangsa bencana alam seperti banjir bukan sahaja dalam negara malah ke negara-negara Asean.

"Ini semua akan dibayar oleh Mohd Najib kepada pembekal yang antaranya ialah Jakel Trading," kata laman web itu.

Malaysiakini baru-baru ini memetik laporan Wall Street Journal (WSJ) bahawa siasatan pihak berkuasa Malaysia mendapati kad kredit Najib digunakan bagi membayar pembelian di gedung fesyen Chanel di Honolulu, Hawaii bernilai AS$130,625.

Selain itu dokumen itu menjelaskan Najib antara 2011 dan 2014 telah memindahkan lebih AS$14 juta kepada Jakel.

Menurut dokumen itu, wang berkenaan datang dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB yang kini berada di bawah kementerian kewangan dan diterajui oleh Najib sebagai menterinya.

Dokumen juga menunjukkan Jakel Trading Bhd, peruncit pakaian mewah Malaysia, sebagai antara penerima paling lazim dana dari akaun Najib.

Lihat Komen
ADS