Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aswaja berang mufti samakan dengan Hindraf
Diterbitkan:  Apr 10, 2016 5:47 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) hari ini menggesa Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengemukakan bukti bahawa pertubuhan tersebut menentang kedatangan pendakwah bebas dari India, Dr Zakir Naik ke negara ini.

Dalam kenyataan medianya, pertubuhan itu mendakwa, Dr Mohd Asri dilihat berterusan 'menyerang' Aswaja dengan turut menyamakan mereka dengan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf).

"Sebagai seorang mufti yang berakhlak, beliau sepatutnya menjaga tutur kata dan mengemukakan bukti apabila melontarkan sebarang tuduhan. Apatah lagi menyamakan Aswaja yang memperjuangkan Islam dengan Hindraf.

"Di manakah akhlak seorang Mufti yang 'suci' ini apabila menyamakan pertubuhan Islam dengan pertubuhan jelas ditunjangi bukan Islam.

"Aswaja meminta mufti Perlis mengemukakan bukti berhubung sebarang bantahan Aswaja terhadap Zakir Naik untuk masuk ke negara ini. Jangan melontarkan tuduhan tanpa mengemukakan bukti dan membawa mulut tanpa menyelidiknya kerana itu adalah perbuatan orang yang fasik," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Aswaja kini turut mendapatkan khidmat nasihat peguam bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Mohd Asri kerana didakwa mencalarkan imej pertubuhan tersebut dengan tuduhan yang tidak berasas.

"Kita akan merujuk kepada peguam untuk mendapatkan khidmat nasihat seterusnya bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap mufti Perlis ini.

"Kami tidak akan membiarkan perbuatan fitnah terhadap Aswaja berterusan dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap perkara ini. Sekali lagi, mufti Perlis diminta mengemukakan bukti yang mana Aswaja membantah Zakir Naik ke negara ini," katanya lagi.

Dalam tulisan di Facebooknya semalam, Dr Mohd Asri mendakwa Aswaja senada dengan Hindraf kerana mempertikaikan kedatangan Dr Zakir Naik.

"Hari ini mereka pertikaikan agama Dr Zakir Naik yang merupakan tokoh dakwah yang mendapat pengiktirafan seluruh dunia termasuk Malaysia memberikan tokoh Maal Hijrah kepadanya.

"Ribuan manusia menganut Islam kerana ceramahnya. Jutaan muslim mendapat manfaat dari penghujahannya. Pun begitu, kumpulan Aswaja ini tetap mempertikaikan pegangan agama Dr Zakir Naik seiras dengan nada kumpulan Hindu Hindraf," tulis Dr Mohd Maza.

Lihat Komen
ADS