Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini mengumumkan nama lima lagi calon langsung Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya negeri ke-11 akan datang, menjadikan 74 calon parti gabungan itu yang diumumkan setakat ini.
Empat daripada mereka adalah daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP), sebuah parti mesra BN serpihan daripada SUPP, manakala seorang lagi adalah bekas anggota SPDP.
Mendahului senarai calon UPP ialah presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh, yang akan mempertahankan kerusi Bawang Assan. Wong ialah menteri kerajaan tempatan dan pembangunan komuniti dan menteri kewangan kedua.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Datuk Tiong Thai King akan bertanding bagi kerusi Dudong, yang disandang Yap Hoi Liong daripada DAP, manakala Ranum Mina akan mempertahankan kerusi Opar.
Muka baru, ahli perniagaan Datuk Hii King Chiong, akan bertanding di kawasan Pujut, yang sekarang disandang anggota Bebas, Fong Pau Teck, bekas anggota DAP.
Dalam sidang akhbar di pejabatnya, Adenan juga membaca nama penyandang Dr Johnical Rayong dan Dr Jerip Susil, yang diumumkan sebelum ini sebagai calon yang masing-masing akan mempertahankan kerusi Engkilili dan Mambong.
Bekas anggota SPDP yang dinamakan hari ini sebagai calon langsung BN ialah ahli perniagaan Datuk Pau Chiong Ung iaitu bagi merampas kembali kerusi Tanjung Batu daripada DAP.
Adenan berkata ketujuh-tujuh mereka telah meninggalkan parti masing-masing bagi mematuhi perlembagaan BN dari segi undang-undang dan teknikal.
"Mereka patuh, lagi pun, mereka semua akan menjadi calon BN. Mereka bebas menyertai mana-mana parti selepas menang nanti, tetapi perkara paling penting ialah mereka perlu setia kepada BN," katanya.
Mengenai kerusi Pelawan dan Meradong, Adenan berkata calonnya akan dimuktamadkan beberapa hari sebelum hari penamaan calon.
"Ada beberapa perkara yang perlu kami bincangkan dahulu sebelum mencapai konsensus," katanya serta menambah bahawa SUPP dan UPP menuntut kerusi berkenaan.
Mengenai calon daripada SPDP dan parti serpihannya, Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), Adenan berkata ia juga akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon.
"Kami berharap masalah antara mereka dapat diselesaikan tidak lama lagi," katanya.
Adenan juga memberi nasihat kepada parti komponen BN dan semua calon BN.
"Kini, setelah kita selesaikan (perkara) berkaitan sebahagian besar calon, saya berharap kita akan berhenti daripada menghala meriam kepada satu sama lain, melainkan kepada pembangkang.
"Saya berharap tiada lagi pertikaian dalaman. Semua senjata kita kini perlu dihalakan kepada pembangkang sahaja," katanya.
- Bernama
