Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adenan: Larangan bukan hanya kepada pembangkang
Diterbitkan:  Apr 15, 2016 6:31 AM
Dikemaskini: Apr 15, 2016 3:30 AM

Kerajaan negeri Sarawak tidak memihak kepada mana-mana kelompok atau kecenderungan politik dalam melaksanakan larangan memasuki negeri itu, kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata insiden empat individu dilarang memasuki negeri itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semalam menunjukkan sekatan itu bukan dikenakan terhadap pemimpin pembangkang semata-mata.

Menurutnya individu yang dilarang oleh Jabatan Imigresen negeri untuk masuk ke negeri itu terbabit dalam perhimpunan 'baju merah' di Kuala Lumpur pada 16 September tahun lepas dan kebetulan mereka adalah ahli Umno.

"Ini adalah jawapan kepada dakwaan Chong bahawa kami hanya menyekat ahli-ahli pembangkang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan kumpulan syarikat Rimbunan Hijau di Sibu.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mendakwa kerajaan negeri itu mengamalkan sikap berat sebelah kerana ia hanya melarang kemasukan pemimpin pembangkang ke negeri itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos, yang juga ketua Umno bahagian Sungai Besar, Selangor, bersama-sama tiga lagi individu dilarang memasuki negeri itu sejurus tiba di Kaunter Imigresen LTAK pada jam 11.30 pagi semalam.

Turut dilarang ialah Pengerusi Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara, Mejar (B) Razali Zakaria, Pengerusi Eratkan Perhubungan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (EPANCO), Ariffin Abu Bakar dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Melayu Klang, Rahim Ibrahim.

Kesemua individu berkenaan dikatakan datang ke negeri itu bagi membantu jentera Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) yang dijadual pada 7 Mei ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS