Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan tidak akan membisu dalam skandal urusniaga Taman Manggis di Pulau Pinang, walaupun debat beliau dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dibatalkan.
Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pemberi maklumat untuk terus membuat pendedahan dalam siri jelajah bersama BN Pulau Pinang berhubung isu berkenaan.
"Apa langkah seterusnya? Dengan bantuan rakyat Pulau Pinang yang prihatin serta pemberi maklumat dari pelbagai sumber, akan ada lebih banyak pendedahan selepas ini!
"Saya juga akan bekerjasama dengan Gerakan dan BN Pulau Pinang untuk mengadakan siri jelajah untuk menerangkan skandal berkembar kepada rakyat Pulau Pinang," katanya dalam catatan tweetnya.
Debat yang dijadualkan disiarkan secara langsung oleh TV3 pada Selasa depan dibatalkan atas nasihat polis yang khuatir acara itu akan menjejaskan proses siasatan oleh pihak polis.
Sebaliknya, polis menasihatkan Abdul Rahman supaya menyerahkan semua bukti yang dimiliki kepada pihak berkuasa.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman menambah, pihaknya kecewa dengan pembatalan itu telah akan menurut nasihat polis untuk menyediakan semua bukti yang ada.
Pasukannya sedang bekerja keras untuk mencari 'bukti-bukti' yang tidak boleh disangkal dalam skandal berkembar itu.
Sementara, Lim dilaporkan sebagai berkata, beliau masih menaruh harapan untuk berdebat di kaca televisyen dengan Abdul Rahman.
