Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Empat lagi individu peluk Islam ketika syarahan Zakir Naik

Empat lagi individu memeluk Islam ketika syarahan pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik di Stadium Hoki Bukit Jalil malam tadi.

Mereka mengucapkan dua kalimah syahadah ketika sesi soal jawab.

Individu pertama mengucapkan kalimah itu ialah seorang lelaki dari Punjab India, Harinder Pal Singh tepat jam 12 tengah malam tadi.

Manakala seorang lagi adalah wanita yang merupakan penganut Roman Katolik pada awalnya.

"Saya mahu mengucapkan syahadah," katanya kepada Zakir sebelum wanita itu dibimbing mengucapkan kalimah tersebut.

Sejurus mengucapkan syahadah pada pukul 12.05 tengah malam, beliau kelihatan berpelukan dengan beberapa orang di sebelahnya dan terus dibawa pergi dari situ.

Individu ketiga mengucapkan pengakuan menyertai Islam ialah seorang wanita pada jam 1.37 pagi. Sejurus selepas itu beliau dibawa pergi oleh penganjur.

Manakala syahadah keempat diucapkan oleh Joel Anak Along pada jam 2.03 pagi.

Katanya sebelum ini beliau telah mendalami Islam di Hidayah center.

Lebih 35,000 hadir sejak jam 5 petang bagi mendengar ceramah Dr Zakir yang juga Tokoh Maal Hijrah pada 2013.

Kehadiran pengunjung pada awal malam diuji dengan keadaan hujan lebat.

Bagaimanapun kemunculan Dr Zakir pada jam 8.45 malam disambut dengan tepukan gemuruh pengunjung yang hadir.

Syarahan itu tamat pada jam 2.45 pagi.

Sejak tiba di negara ini pada 9 April lepas, ini merupakan ceramah pertama tokoh pendakwah terkenal itu di Kuala Lumpur selepas mengadakan ceramah di Terengganu.

Beliau dijangka berada di Melaka esok bagi meneruskan jelajah ceramahnya di Malaysia.

Lihat Komen
ADS