Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berharap suaminya, Datuk Seri Najib Razak agar sentiasa bersabar ekoran pelbagai perkara yang melandanya ketika ini.

Rosmah juga mengingatkan bahawa ia merupakan dugaan Allah.

Sehubungan itu, katanya, apa yang paling penting ketika ini ialah berdoa dan reda dengan apa yang terjadi kerana Allah mengetahui dan memahami perkara sebenarnya.

"Nasihat saya supaya bersabar banyak-banyak kerana ini adalah dugaan dari Allah. Apa yang mustahak, Allah faham dan memahami perkara sebenarnya.

"Apa-apa pun kita harus berdoa dan reda pada Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media pra-pelancaran Persidangan Antarabangsa PERMATA 2016 di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Rosmah berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung apakah nasihat beliau selaku isteri perdana menteri memandangkan Najib kini sedang berdepan serangan bertubi-tubi.

Najib ketika ini terpalit dengan pelbagai kontroversi terutama dalam isu 1MDB dan sumbangan daripada Arab Saudi bernilai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Sementara itu, ditanya apakah nasihatnya kepada rakyat Malaysia ekoran cuaca panas El Nino melanda negara, beliau menasihatkan orang ramai terutama kanak-kanak agar tidak banyak menghabiskan masa di luar rumah.

Penaung kepada program PERMATA itu juga menasihatkan supaya minum lebih banyak air agar tidak terkena strok haba.

"Jangan keluar, main di luar banyak sangat, bersiar-siar di luar banyak sangat terutama kanak-kanak.

"Banyakkan minum air dan kalau boleh duduk dalam rumah atau pejabat supaya kita tidak kena strok haba," ujarnya.

Lihat Komen
ADS