Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyelar pengkritik utamanya Tun Dr Mahathir Muhammad sebagai cuba mengundang campur tangan asing dalam isu 1MDB.
Tanpa menyebut secara langsung nama Mahathir, Najib menyindir “pemimpin” yang dahulu sering melaungkan semangat kebangsaan tetapi hari ini “meminta campur tangan orang asing dalam hal ehwal negara”.
“Mereka ini sanggup meninggalkan prinsip malah menggadaikan kedaulatan negara semata-mata untuk agenda peribadi,” kata Najib.
Dalam wawancara dengan
The National
yang beribu pejabat di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mahathir merayu penyiasat antarabangsa mendedahkan penemuan siasatan mereka berkaitan 1MDB.
Mahathir ( gambar ), yang berada di Dubai bagi menghadiri sebuah persidangan antarabangsa, berkata gejala rasuah di Malaysia kini mencapai tahap yang tidak pernah disaksikan.
Menulis di Facebook, Najib berkata Malaysia tidak perlu campur tangan asing dalam urusan sendiri.
“Biarlah urusan dalam negara ditentukan oleh rakyat sendiri,” katanya.
Pada masa ini, siasatan berkaitan 1MDB sedang dijalankan oleh sekurang-kurangnya lima buah negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland, Luxembourg, Singapura dan UAE.
