Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Tugas besar menanti gabenor baru Bank Negara
Diterbitkan:  Apr 28, 2016 1:00 PM
Dikemaskini: 5:24 AM

PAS mengalu-alukan pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim selaku Gabenor Bank Negara yang baru dan menyifatkan keputusan itu sebagai tepat, kata Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, pelantikan itu selaras dengan ingatan agar jawatan itu tidak disandang ahli politik dan perlu mengambil kira pandangan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang bersara hujung bulan ini.

"Tidak mudah bagi pelantikan Muhamad Ibrahim sebagai Gabenor BNM jika Zeti tidak mendesak kerajaan dengan pelbagai peringatan bahawa pelantikan itu mestilah bukan dari kalangan ahli politik," katanya pada kenyataan media.

Sehubungan itu pelantikan Muhammad Ibrahim diharap mampu menambah keyakinan rakyat terhadap usaha memulihkan kedudukan kewangan negara, terutama dalam menyelesaikan kemelut 1MDB.

"Rakyat juga berharap beliau akan bersikap tegas dalam menyelesaikan kemelut 1MDB yang masih belum selesai.

"Tugas besar yang menanti beliau ialah memperteguhkan peranan Bank Negara dalam mengawasi perjalanan perbelanjaan kerajaan dan syarikat tanggungan kerajaan selain merangka strategi berkesan dalam memastikan ekonomi negara terus stabil," katanya.

Tuan Ibrahim dilihat pemimpin PAS paling lantang mengingatkan agar jawatan itu tidak diserahkan kepada ahli politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan pelantikan Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara berkuat kuasa 1 Mei.

Sebelum ini, terdapat spekulasi Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar akan mengisi jawatan itu.

Lihat Komen
ADS