Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Di sebalik keengganan PKR dan DAP untuk berundur dari bertanding di enam kerusi yang sama dalam pilihan raya negeri Sarawak, PKR memilih untuk tidak memandang ke belakang dan terus fokus kepada proses pengundian tersebut.

"Saya memilih untuk tidak menumpukan kepada ini (pertembungan kerusi). Biarlah kita melangkah ke depan," Naib Presiden PKR yang juga pengarah pilihan rayanya, Nurul Izzah Anwar berkata pada sidang akhbar di Petaling Jaya, hari ini.

Tanpa mengulas lanjut, beliau berikrar partinya akan menguruskan perkara itu selepas 7 Mei ini.

"Kami pasti akan kendalikan apa yang perlu dilakukan selepas 7 Mei," katanya.

Nurul Izzah, yang juga ahli parlimen Pantai, yakin isu yang sama tidak akan berjangkit ke Semenanjung Malaysia, dengan ikatan antara komponen parti dalam Pakatan Harapan adalah lebih kukuh.

Hari ini, Datuk Zaid Ibrahim yang pernah berjuang bersama PKR berhasrat menyatakan kepada DAP agar tidak lagi perlu bersama dalam gabungan dengan PKR.

“Dalam majlis makan malam itu saya akan cadangkan ini: Lupakan kerjasama pilihan raya bersama-sama.

“Ia tidak berkesan dalam pilihan raya umum ke-13 dan tidak berjaya dalam pilihan raya Sarawak.

"Harapan terbaik untuk pakatan pembangkang yang boleh dipercayai adalah antara DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH),” katanya.

DAP dan PKR kini bertembung di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas gagal menyelesaikan pengagihan kerusi.

Lihat Komen
ADS