Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN Aulong fail saman pemula terhadap speaker DUN Perak
Diterbitkan:  Apr 29, 2016 6:40 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Anggota Dewan Undangan Negeri Aulong daripada DAP, Leow Thye Yih hari ini memfailkan saman pemula terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Seri S K Devamany dan kerajaan negeri Perak berhubung penggantungannya daripada sidang DUN selama sebulan dari 1 April lepas.

Saman pemula itu difailkan oleh Leow di pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi di Ipoh pada jam 3.27 petang melalui Tetuan Leong & Tan.

Mengikut pernyataan tuntutannya, Leow mendakwa penggantungannya yang diputuskan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak adalah tidak sah dan 'ultra vires' selain tidak mematuhi Perintah Tetap 72 dan 78 Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Beliau memohon antara lain deklarasi bahawa penggantungan gajinya termasuk elaun dan tuntutan bagi tempoh 1 April hingga 30 April tidak mengikut peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Leow juga memohon deklarasi bahawa beliau berhak kepada semua saraan dan lain-lain elaun dan/ataupun manfaat yang diberikan kepadanya di bawah Perkara XXXVID Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menurut Enakmen Anggota Pentadbiran dan Dewan Negeri (Saraan) 1980.

Leow turut menuntut kos dan relif lain yang ditentukan wajar dan sesuai oleh mahkamah.

Devamany pada 7 April lepas mengumumkan penggantungan Leow selama sebulan daripada menghadiri persidangan DUN Perak berkuat kuasa 1 April.

Penggantungan Leow diputuskan jawatankuasa itu selepas beliau didapati membuat tuduhan berniat jahat terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri yang semasa persidangan lepas.

Beliau berkata penggantungan selama sebulan mengikut Perintah Tetap 36(3)(a) dan 36(3)(b) itu adalah yang paling lama dalam sejarah DUN Perak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS