Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Impian Ridhuan Tee lihat Cina terajui Umno, PAS
Diterbitkan:  May 3, 2016 5:00 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Tokoh akademik kontroversi, Mohd Ridhuan Tee Abdullah sedih melihat organisasi Islam, penuh dengan orang Melayu, seolah-olah tidak ada Cina, India, Orang Asli atau Bumiputera Muslim yang layak memegang jawatan tinggi.

Impiannya, suatu hari nanti adalah untuk melihat PAS atau Umno diterajui oleh orang Cina.

Mengenai MCA, Ridhuan menganggap parti politik itu terlalu rasis sehingga ada pemimpinnya berani mengatakan perlembagaan persekutuan itu sendiri yang rasis kerana mempunyai peruntukan mengenai bangsa dan agama tertentu.

Ini merujuk kepada kenyataan pemimpin jawatankuasa pusat MCA Datuk Seri Ti Lian Ker yang menyentuh mengenai perlembagaan persekutuan dalam menangkis hujah Ketua Biro Tata Negara yang berkata isu perkauman di Malaysia memuncak semasa musim pilihan raya kerana pihak tertentu mengeksploitasi isu-isu sensitif.

Dalam kolumnya yang disiarkan di Sinar Harian, Ridhuan berkata berbeza dengan organisasi Kristian yang tidak mempunyai masalah untuk melantik orang Cina Kristian jika terbukti mereka hebat dan layak berbanding dengan institusi Islam dan jawatan dalam kerajaan yang dikuasai oleh orang Melayu.

“Sebab itu janganlah kecewa jika ramai orang Cina memeluk Kristian daripada Islam. Tindakan kita terlalu rasis.

“Kita cakap banyak mengenai Islam, tetapi tindakan amat kemelayuan. Perpaduan apa yang kita laungkan?” soalnya.

Sementara itu, Ridhuan yang adalah pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin di Terengganu berkata terdapat banyak perkara untuk dipelajari daripada masyarakat Cina.

Katanya, bangsa itu telah menyumbang kepada penyebaran Islam di rantau ini.

“Ingat! negara China telah menerima Islam lebih 1,200 tahun. 1,000 tahun lebih daripada orang Melayu.

“Kerana pendakwah dan pedagang Cinalah orang Melayu menjadi Islam. Jika tidak, mungkin ada lagi Melayu yang masih menyembah pokok.,” katanya.

Selain itu, menurutnya, terdapat pengajaran yang boleh diperolehi daripada orang Cina, seperti dalam isu-isu ekonomi dan perpaduan.

“Kita tidak pernah mahu belajar daripada Cina, malah asyik marah dan mengutuk Cina.

“Ya, saya turut mengutuk Cina yang ultra kiasu. Tetapi bagi Cina yang berjaya dan bukan musuh Islam, kita kena belajar daripada mereka.

“Tetapi kita memandang rendah kepada mereka, terutama Cina mualaf,” katanya.

Ridhuan, seorang Cina mualaf mengakui mendapat iman barunya tiga dekad yang lalu, tetapi tidak pernah meminta sebarang balasan.

Sebaliknya, apa yang diperolehinya hari ini, katanya adalah hasil titik peluh dengan izin Allah.

“Ultra kiasu tuduh saya macam-macam dapat habuan itu dan ini kerana menjadi lebih Melayu daripada Melayu. Wal hal saya tidak dapat apa-apa pun daripada orang Melayu atau Umno,” katanya.

Lihat Komen
ADS