Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebih 90% pekerja sektor kewangan, insurans pilih VSS
Diterbitkan:  May 4, 2016 3:39 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Lebih 90 peratus pekerja dalam sektor kewangan dan insurans memilih Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) manakala dua peratus atau 414 pekerja lagi ditamatkan perkhidmatan disebabkan oleh pemaksimuman teknologi maklumat dan komunikasi, tahun lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Mutalib berkata mereka merangkumi 46 peratus atau 17,628 daripada 38,499 pekerja dari seluruh sektor pekerjaan dalam negara ditamatkan perkhidmatan disebabkan kelembapan ekonomi.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Boon Som Inong di persidangan Dewan Negara hari ini.

Boon Som bertanyakan mengenai jumlah pekerja yang ditamatkan perkhidmatan ekoran kelembapan ekonomi, setakat ini.

Ismail bagaimanapun berkata pemberhentian pekerja setakat tahun lepas masih terkawal kerana ia berlaku hampir di semua sektor ekonomi.

Menjawab soalan tambahan Boon Som mengenai pelaksanaan perintah gaji minimum yang mendapat bantahan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan itu kerana dianggarkan 30,000 pekerja terutama di peringkat bawahan berdepan tindakan pemberhentian kerja, katanya, pihaknya tidak menerima laporan berhubung perkara itu.

"Kita belum mendapat apa-apa notis atau maklumat daripada majikan kerana majikan disyaratkan memberi notis kepada kita (sekurang-kurangnya) 30 hari sebelum pekerja diberhentikan," katanya.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai khabar angin dan menegaskan bahawa pelaksanaan gaji minimum pada Julai ini tidak akan memberi kesan kepada pekerja dan majikan.

Ismail turut menegaskan bahawa majikan tidak boleh menamatkan perkhidmatan pekerja tempatan untuk menggaji pekerja asing.

- Bernama

Lihat Komen
ADS