Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
El Nino: Sistem aliran bergilir elak 3,500 pesawah rugi
Diterbitkan:  May 4, 2016 3:54 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Kira-kira 3,500 pesawah di Sungai Manik dan Labu Kubong berupaya mengelak kerugian ketika fenomena El Nino sekarang susulan sistem pengurusan pengairan sawah padi secara bergilir yang dipraktikkan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Manik dan Labu Kubong, Suib Sulaiman berkata sistem tersebut dilaksanakan oleh pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) sejak lebih lima tahun lalu.

Beliau berkata menerusi sistem itu, pihak IADA menyalurkan air ke bendang di kawasan Sungai Manik terlebih dahulu sehingga padi yang ditanam benar-benar telah masak.

"Selepas itu barulah IADA salurkan air ke bendang di Labu Kubong. Dengan cara begini, padi yang hampir masak berkualiti kerana masih menerima air.

"Semua pesawah di dua kawasan ini menerima air dari Sungai Batang Padang dan ia tidak cukup untuk menampung lebih 5,000 hektar sawah padi jika sistem pengairan bergilir tidak dilaksanakan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Suib, kedua-dua kawasan sawah padi itu menanam padi jenis Padi Kebal atau dikenali sebagai CL2 yang mempunyai tempoh matang selama 100 hari dari mulai ditanam.

Katanya walaupun El Nino memberi kesan kepada produktiviti pengeluaran padi negara musim ini, namun pasawah di Sungai Manik dan Labu Kubong masih boleh bertahan disebabkan pengairan secara bergilir.

"Pengeluaran padi di kawasan ini masih dianggap berjaya jika dibandingkan dengan beberapa kawasan di Bagan Serai dan Parit Buntar yang terjejas berikutan penyusutan air Empangan Bukit Merah.

"Alhamdulillah, kami dapati tidak terjadi biji beras retak dan berkapur tetapi ada penyakit padi seperti karah daun padi terjadi kepada pokok padi tapi tidaklah ketara," katanya.

Tinjauan Bernama di kawasan sawah padi Sungai Manik mendapati jentera telah mula diturunkan ke bendang sejak minggu lepas bagi menuai hasil bagi musim pertama tahun ini.

Sementara itu, seorang daripada ketua unit peladang PPK Sungai Manik, Malik Faisal Ahmad berkata penuaian hasil padi kali ini masih dianggap berjaya biarpun menjangkakan hasil mungkin berkurangan.

"Purata hasil padi masih dapat dicapai lima tan bagi setiap satu hektar dan proses penuaian padi di kawasan Sungai Manik kira-kira 2,500 hektar ini dijangka tamat minggu depan, tetapi bergantung kepada cuaca," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS