Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1,000 kakitangan MAB hilang kerja hujung bulan ini
Diterbitkan:  May 4, 2016 6:53 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Sekitar 1,000 kakitangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) akan kehilangan pekerja apabila kontrak sementara yang disandang mereka lupus hujung bulan ini.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), Ismail Nasaruddin berkata, keadaan ini pastinya menambah keperitan di kalangan ahli-ahlinya terutama mereka yang berkeluarga.

"Apakah yang membimbangkan lagi ialah masih ramai di kalangan mereka yang diberhentikan sebelum ini masih belum bekerja dan mengharapkan bantuan dari kerajaan.

"Ini sungguh mengecewakan dan suatu skim pembuangan pekerjaan harus dilancarkan secepat mungkin bagi membantu mereka yang kehilangan keupayaan untuk bekerja," jelasnya dalam kenyataan.

Kira-kira enam bulan yang lalu, hampir 3,000 bekas kakitangan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang kemudiannya menukar nama kepada MAB telah memfailkan aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan atas alasan mereka diberhentikan secara tidak wajar.

Sebahagian besar pekerja membuat aduan bahawa perkhidmatan mereka ditamatkan tanpa mengikut prosedur yang betul.

Baru-baru ini, MAB yang sedang berdepan dengan krisis kewangan turut dikejutkan dengan pengumuman pengunduran Christoph Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan MAB yang dikhuatiri mengundang lebih banyak masalah.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, pihaknya mencadangkan agar syarikat menyalurkan dana kepada skim ini dalam usaha memberi bantuan perlindungan hidup sehingga pekerja itu mendapat pekerjaan yang baru.

"Kerajaan harus mengambil initiatif ini selaras dengan beberapa negara telah lama membantu pekerja yang telah dibuang oleh syarikat mereka.

"Jika tiada bantuan, mereka akan hilang kepercayaan kepada mana-mana kesatuan dan agensi kerajaan yang pernah menyatakan akan membantu mereka," katanya lagi.

Bagi pekerja yang bakal kehilangan pekerjaan mereka bulan depan, Nufam menasihatkan mereka agar memfailkan kes pemberhentian kerja dengan kesatuan dan Jabatan Perhubungan perusahaan (JPP) dalam tempoh 60 hari.

Lihat Komen
ADS