Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi: Ku Chin Wah tak perinci punca perolehan harta miliknya
Diterbitkan:  May 4, 2016 8:38 PM
Dikemaskini: 12:40 PM

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah tidak menyatakan dengan terperinci punca perolehan harta miliknya seperti yang dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Asnawi Abu Hanipah, 43, berkata Ku telah menyerahkan kembali satu pernyataan bertulis secara bersumpah kepada SPRM bertarikh 8 Januari 2014 namun, terma notis iaitu sumber perolehan untuk kesemua asetnya, tidak dinyatakan.

Menurutnya Ku, yang berpendapatan RM12,107.81 sebulan, telah mengisytiharkan bahawa dia memiliki lima kenderaan pelbagai jenis, tujuh hartanah, tiga perniagaan termasuk simpanan dan pelaburan.

Saksi kedua itu berkata beliau telah mengeluarkan satu notis kepada Ku, yang telah ditandatangani dan dicap olehnya untuk pengawai siasatan membuat siasatan bagi kesalahan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

"Siasatan itu lebih tertumpu kepada penerima (Ku) iaitu notis untuk tertuduh menyerahkan pernyataan bertulis secara bersumpah kepada SPRM untuk menyiasat dan mengenal pasti penerima dengan menyatakan perihal harta termasuk sumber-sumber harta diperolehi," katanya pada hari pertama perbicaraan kes Ku, 58, yang didakwa gagal mengisytiharkan segala perolehannya di dalam surat akuan bersumpahnya.

Mohd Asnawi berkata penerima perlu mengenal pasti harta yang diperolehi dan dilupuskan dan pernyataan itu perlu dikembalikan dalam masa 30 hari bermula dari tarikh notis diserahkan kepada penerima.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed sama ada Mohd Asnawi masih boleh mengesahkan bahawa notis itu telah diserahkan kepada Ku, saksi itu berkata pengesahan tersebut dibuktikan berdasarkan akuan di mana Ku telah menandatanganinya dan menerima notis itu.

Ku, yang kini berkhidmat di Bahagian Urusetia JSJ Bukit Aman, didakwa gagal mematuhi terma notis Pendakwa Raya di bawah Seksyen 49(1) (AMLATFA) bertarikh 23 Disember 2013 dengan dia gagal mengisytiharkan segala punca perolehan di dalam surat akuan bersumpahnya bertarikh 8 Januari 2014.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat SPRM, Blok D6, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 23 Dis 2013 dan 21 Januari 2014.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 49(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta, penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Ku. Perbicaraan di hadapan Hakim Sohaini Alias bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS