Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Beberapa kilang pemasangan kenderaan gergasi didakwa menggunakan tindakan mahkamah untuk menghalang pekerja mereka daripada menubuhkan kesatuan sekerja di kilang masing-masing.

Malah, Presiden Persatuan Pengeluar dan Pembekal Alat-alat Ganti Kenderaan dan Sekutu, Muda Ismail mendakwa, mereka juga menggunakan `orang berpengaruh' termasuk tokoh-tokoh politik untuk mempengaruhi pekerja kilang masing-masing daripada menubuhkan kesatuan sekerja.

Menurutnya, dua kilang Malaysia Truck and Bus Sdn Bhd dan AMM Sdn Bhd kedua-duanya berpangkalan di Pekan, Pahang menggunakan mahkamah untuk mencabar keputusan menteri yang membenarkan penubuhan kesatuan sekerja di kilang tersebut.

Malaysia Truck and Bus adalah anak syarikat DRB Hicom yang memasang kenderaan Mitsubishi dan AMM terlibat dengan pemasangan lori Tata.

Muda berkata, pihak pengurusan kedua-dua kilang tersebut telah membawa kes penubuhan kesatuan sekerja kilang mereka ke mahkamah.

"Malaysia Truck and Bus mempunyai 2,000 pekerja manakala AMM mempunyai 600 pekerja yang memasang kenderaan jenis Mitsubishi, Proton Iswara dan lori Tata di kilang pemasangan mereka di Pekan. Lebih 51 peratus pekerja kilang tersebut setuju untuk menubuhkan kesatuan sekerja.

Tidak diiktiraf

Menurutnya, kes yang melibatkan Malaysia Truck and Bus yang akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak lama lagi, telah berlanjutan sejak dua tahun lalu.

Muda berkata, masih banyak kilang yang enggan menerima penubuhan kesatuan sekerja dan menggunakan pelbagai helah untuk tidak memberi pengiktirafan kepada mereka.

"Pengurusan kilang tidak membenarkan penubuhan kesatuan sekerja kerana tidak mahu mereka begitu lantang memperjuangkan hak pekerja seperti tuntutan kerja lebih masa, kemudahan perubatan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, dalam banyak kes, kesatuan sekerja tidak mendapat pengiktirafan dari kilang mereka meskipun sudah ditubuhkan selama tiga tahun.

Beliau berkata, apabila pekerja tidak dibenarkan menubuhkan kesatuan sekerja, mereka akan membuat permohonan untuk bergabung dengan Persatuan Pengeluar dan Pembekal Alat-alat Ganti dan Sekutu.

ADS