Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib berjaya padam dua perenggan afidavit 1MDB
Diterbitkan:  May 5, 2016 5:38 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memadamkan dua perenggan dalam afidavit sokongan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee dalam saman berhubung isu 1MDB.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Roslan Abu Bakar dalam keputusannya berkata bahawa ini adalah permohonan interlokutori tetapi kenyataan itu berdasarkan khabar angin dan gagal mematuhi Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

"Mahkamah mendapati dua perenggan serta eksibit itu adalah 'hearsay'.

"Ia tidak menyatakan sumber maklumat dan atas sebab ini, ia tidak memenuhi peraturan mahkamah.

"Oleh itu mahkamah menolak dua perenggan dari afidavit defendan pertama," katanya.

Dua perenggan dalam afidavit sokongan itu membabitkan hasil carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengenai laman web rasmi 1MDB dan artikel berkaitan isu 1MDB yang diterbitkan dalam blog, surat khabar dan portal online.

Roslan bagaimanapun menolak permohonan Najib untuk membatalkan tiga perenggan daripada afidavit pemilik Media Rakyat, Chan Chee Kong komen berpatutan dan berkata ia memenuhi peraturan mahkamah.

Peguam Gobind Singh Deo berkata, beliau akan meneliti alasan itu dan membuat keputusan sama ada untuk memfailkan rayuan.

Mahkamah juga menetapkan 30 Mei ini untuk mendengar permohonan Pua bagi membatalkan saman Najib selepas Gobind memberitahu mahkamah bahawa beliau memerlukan masa untuk mempertimbangkan tindakan seterusnya.

Pua turut diwakili oleh peguam Benjamin Aliff Suhaimi dan Joanne Chua, manakala Chan diwakili N Surendran dan Shahid Adli Kamaruddin.

Peguam M Reza Hassan dan Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Najib.

Najib, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman fitnah itu pada 5 Mac tahun lalu dengan menamakan Pua, 43, dan Chan, 52, sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam pernyataan tuntutannya, Najib selaku plaintif berkata pada 13 November 2014, Pua, sebagai penceramah utama pada jamuan malam kutipan dana DAP, telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai 1MDB.

Najib berkata rakaman ucapan itu telah dimuat naik oleh Chan sendiri dan/atau ejennya dalam laman YouTube Mediarakyat dan laman web Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.

Menurutnya, rakaman ucapan itu mengandungi perkataan yang merujuk dan berkaitan dengan dirinya dan memfitnahnya serta individu dikenali sebagai 'perdana menteri' dan semestinya merujuk secara spesifik kepada dirinya (Najib).

Beliau berkata penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu telah merosakkan reputasinya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui Internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula.

Lihat Komen
ADS