Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Helikopter hilang: Tumpuan ke Sri Aman, Simunjan

Operasi mencari dan menyelamat helikopter yang hilang petang tadi akan ditumpukan mulai dari Sri Aman, Simunjan hingga ke lokasi asalnya di Betong.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata pelbagai agensi akan bekerjasama dalam gerakan itu, termasuk Jabatan Penerbangan Awam (DCA), tentera dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Bercakap dalam sidang media di Kuching malam ini Muhammad Sabtu berkata polis belum dapat mengesan lokasi helikopter berkenaan dan gerakan akan diatur mulai jam 6 pagi nanti.

“Malam ini (polis belum) dapat lokasi (tepat) pesawat dan (gerakan mencari) akan diatur pada jam 6 pagi. Sekurang-kurangnya lebih dari seratus tenaga yang akan dikerah (menyertai operasi berkenaan).

“Kalau tanya (situasi pada) malam (ini) saya tak dapat beri jawapan yang positif,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai tidak mempercayai khabar angin yang kononnya mendakwa ada pesawat udara membuat pendaratan kecemasan di beberapa lokasi.

"DCA sahkan tidak mengesan sebarag helikopter membuat pendaratan di Sarawak," katanya.

Identiti belum disahkan

Muhammad Sabtu menjelaskan helikopter berkenaan membawa lima penumpang serta seorang juruterbang. Seorang daripada penumpang itu ialah pengawal peribadi.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan identiti penumpang dalam pesawat berkenaan.

“Untuk penumpang saya tidak dapat beri pengesahan (buat masa ini). Apabila polis dapat pengesahan (barulah) identiti (mereka) diberitahu,” katanya.

Petang tadi sebuah helikopter dinaiki enam orang, termasuk seorang timbalan menteri, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari Betong ke Kuching.

Borneo Post melaporkan, salah seorang penumpang ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suaminya, serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Noriah adalah anggota parlimen Sungai Besar manakala Wan Mohammad Khair-il Anuar anggota parlimen Kuala Kangsar.

Turut berada dalam pesawat sama ialah Ketua Pengarah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri.

DCA pula mengesahkan operasi mencari operasi menyelamat telah dilancarkan.

Bernama menyatakan helikopter berkenaan berlepas dari Betong pada jam 4.12 petang dan sepatutnya tiba di Kuching kira-kira jam 5 petang.

Helikopter Eurocopter AS350 itu dikendalikan sebuah syarikat tempatan.

Lihat Komen
ADS