Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Abang Jo: Kempen BN diterima baik di 'kawasan hitam'
Diterbitkan:  May 6, 2016 6:12 AM
Dikemaskini: May 6, 2016 3:56 AM

Kempen BN di kawasan hitam terutama di bandar dan pinggir bandar yang merupakan kubu kuat pembangkang, diterima baik oleh rakyat, kata Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, pengundi di kawasan tersebut menunjukkan sikap yang positif terhadap polisi dan dasar kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, yang telah menampakkan hasil.

"Kita nampaknya sudah memberi saingan yang cukup hebat kepada mereka (pembangkang) walaupun kita belum pasti keputusan (pilihan raya negeri)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan surat hak milik tanah kampung tradisional kepada 120 penduduk kampung berkenaan, di Kampung Senari, di Kuching semalam.

Abang Johari berkata: "Kita dah kempen lebih kurang 10 hari, dan nampaknya sambutan pengundi positif di kawasan yang disenaraikan hitam terutama di bandar dan pinggir bandar. Nampaknya ada saingan."

Timbalan Presiden PBB itu, bagaimanapun berkata BN sentiasa berwaspada dengan taktik saat-saat akhir pembangkang, terutamanya dalam masa 24 jam sebelum tempoh kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11, berakhir tengah malam ini.

Terdahulu, sewaktu berucap di majlis berkenaan, Abang Johari mengingatkan penduduk kampung agar memberikan sokongan penuh kepada BN bagi memastikan hak-hak mereka, terutamanya dalam soal tanah terus terpelihara.

Beliau berkata surat hak milik tanah itu merupakan inisiatif kerajaan bagi memastikan penduduk Sarawak mempunyai aset sendiri, dan beliau berharap agar mereka tidak menggadaikannya semata-mata untuk keuntungan jangka pendek.

Menurut data Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, sehingga Mac 2016, sebanyak 64,567 surat hak milik tanah telah dikeluarkan bagi Seksyen 18 dengan keluasan kira-kira 4,743 hektar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS