Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hubungan terakhir tiga minit setelah berlepas - DCA

Hubungan terakhir yang dibuat juruterbang helikopter membawa seorang timbalan menteri dan empat lagi penumpang semalam ialah pada 4.15 petang, tiga minit setelah berlepas.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata juruterbang itu memberitahu bahawa mereka dijangka akan berada di kawasan Simunjan dalam masa kira-kira 20 minit setelah berlepas pada pukul 4.12 petang.

"Pengawal trafik udara Simunjan cuba menghubungi pesawat itu pada 4.28 petang tetapi tiada respons. Beberapa lagi cubaan dilakukan untuk menghubungi helikopter itu pada 4.29 petang, 4.39 petang dan 4.56 petang.

"Tetapi masih tiada respons daripada helikopter berkenaan," katanya kepada pemberita di Kuching hari ini.

Beberapa serpihan bahagian helikopter itu ditemui dekat sungai Batang Lupar di Sebuyau, pagi ini.

Azharuddin berkata terdapat empat helikopter di kawasan itu pada ketika itu, sebuah daripadanya hanya seminit berada di belakang helikopter malang itu.

"Kami minta mereka menghubungi helikopter itu tetapi usaha mereka gagal," katanya.

Selepas usaha menghubungi beberapa pihak yang berkenaan dan tiada sebarang isyarat dikesan tentang kedudukan helikopter itu, Azharuddin berkata situasi kecemasan diisytiharkan dan misi mencari dan menyelamat digerakkan pada jam 7.26 malam tadi.

Beliau berkata pasukan bertindak dibentuk untuk mengendalikan usaha memberitahu keluarga mereka yang berada di dalam pesawat tu.

Azharuddin berkata penyiasatan masih berjalan dan Hornbill Skyways, syarikat yang menyewakan pesawat itu dari Filipina masih belum digantung operasinya.

"Pada masa ini kita masih belum tahu apakah sebenarnya berlaku. Kita kena siasat untuk mengetahui apa yang sebenarnya menyebabkan helikopter itu putus hubungan dengan menara kawalan. Operasi Hornbill Skyways tidak digantung lagi," katanya.

Awal pagi ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata serpihan daripada helikopter itu telah ditemui termasuk alat pemutar, sebuah kerusi, sebahagian pintu pesawat, bilah rotor dan sebahagian dinding helikopter itu.

Perdana menteri mengesahkan bahawa helikopter itu membawa enam orang termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon, suaminya Asmuni Abdullah dan Ahli Perlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Turut menaiki pesawat itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS