Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Asyraf Wajdi tegur edaran gambar longokan wang
Diterbitkan:  May 6, 2016 6:00 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegur pengedaran gambar yang menunjukkan sekumpulan lelaki di depan longgokan wang.

Gambar yang beredar di Internet itu menunjukkan aksi seolah-olah wang yang banyak sedang dikira dan diedarkan.

Ia dikesan beredar menjelang hari-hari pengundian dalam pilihan raya negeri Sarawak esok.

Menjawab soalan di Facebook, Asyraf mengingatkan supaya penyebaran gambar fitnah dihentikan.

“Jangan sebar gambar fitnah, nanti dosa berterusan selagi gambar ditonton dan viral,” tulisnya.

Beliau ditanya seorang pembaca: “Betul ke kempen macam ini Dr?”

Soalan itu diajukan dalam komen kepada statusnya di Facebook berkaitan keperluan bersangka baik terhadap tuhan.

Asyraf menulis:

“Bersangka baiklah terhadap Allah kerana Dia Maha Mendengar dan pasti Menyantuni setiap rintihan hamba-Nya, cuma kita sebagai hamba-Nya yang selalunya sombong kerana hanya mengingati-Nya ketika berkeperluan dan mengharapkan pertolongan daripada-Nya serta-merta.”

Tempoh berkempen akan berakhir tengah malam ini. Rakyat Sarawak akan membuat keputusan esok sama ada menyokong BN melalui “Team Adenan” atau pembangkang.

Ini kali pertama Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem memimpin pasukan pilihan rayanya setelah mengambil alih jawatan daripada pendahulunya Tun Taib Mahmud.

Penganalisis melihat BN tiada masalah mengekalkan penguasaan. Tetapi persoalannya adakah pengaruh mereka berkurang atau bertambah dengan pasukan baru ini.

Lihat Komen
ADS