Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

"Inilah Sungai Abang, airnya keruh semenjak Oktober 2015. Orang Ba Abang tak dapat minum air dari sungai ini.

“Inilah masalah yang dihadapi orang Penan,” kata Tuai Kampung Panai Irang, dari Ba Abang, kampung terpencil di Baram, di bahagian timur Bumi Kenyalang.

"Kami buat sekatan, tapi kompeni robohkan. Kami buat laporan Perhutanan dan Polis, tapi mereka sokong kompeni."

Masyarakat desa di Baram, termasuk Penan, Kenyah dan Kayan, sedang memperjuangkan dua isu yang mencabar.

Isu pertama ialah Empangan Hidroelektrik Baram, projek "mega" yang bakal menenggelamkan 400 kilometer persegi (hampir sama dengan kawasan bandaraya Kuching), dan mengancam 20,000 penduduk kampung yang bakal dipaksa berpindah.

Isu yang kedua adalah usaha mereka mempertahankan tanah adat dan hutan rimba "native customary rights" (NCR), sungai dan kawasan tadahan air sekeliling kampung mereka, daripada pencerobohan dan pencemaran alam oleh syarikat balak gergasi dan kontraktor mereka.

Dalam kedua-dua isu tersebut, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem telah menawarkan pelbagai janji, sempena pilihanraya negeri.

Adenan janji beliau akan bertindak, menghapuskan pembalakan haram dan melindungi tanah adat NCR.

Walaupun suara Adenan lantang semasa pengumuman janji tersebut, sehingga sekarang, tiada kes pembalak haram yang dihukum penjara, dan usaha pembalakan masih berlangsung dengan pesat di Baram dan kawasan hutan NCR yang lain di Sarawak.

Adenan tidak berani mengganggu lesen pembalakan yang dikeluarkan oleh bekas ketua menteri, dan bekas abang iparnya, Tun Abdul Taib Mahmud.

Malah, Adenan menyokong hartawan pengusaha balak, seperti Hii King Chiong, Janet Lau dan Tiong Thai King, yang bertanding pada pilihanraya negeri ke-11.

Adenan berjanji "calon Cina saya" akan dilantik ke jemaah menteri negeri, jika berjaya menang pada pilihanraya, esok.

Kemenangan penangguhan empangan Baram

Penduduk kampung telah menang, untuk sementara waktu, dalam satu isu: empangan Baram telah ditangguhkan.

Taib dan Adenan menghadapi protes sengit. Sekatan jalan di Long Lama dan Long Naah selama 18 bulan lalu berjaya menghalang kemasukan jentera ke tapak pembinaan Empangan Baram.

Adenan terpaksa menggantungkan projek tersebut, sejurus sebelum pilihanraya negeri. Adenan masih mendakwa beliau yang berkuasa, bukan boneka, dan menafikan bahawa beliau membuat pusingan U akibat bantahan orang kampung.

"Mereka puji sendiri...(mereka kata) mereka yang mendesak, saya dipaksa menarik balik projek ini - tidak!

“Itu bukan sebabnya. Sebabnya ialah saya telah mengkaji perkara ini. Tiada keperluan untuk empangan besar," umum Adenan pada 3 Mei lalu.

"Kita boleh bina empangan mini dan sebagainya, tapi bukan empangan besar, terutamanya sebab kita tak akan bekalkan (kuasa elektrik) ke Semenanjung Malaysia."

Kempen membantah empangan "mega" menjelaskan bahawa empangan Bakun juga telahpun ditangguhkan dua kali dahulu, tetapi akhirnya disiapkan pada tahun 2011, dengan kos yang tinggi: penderitaan rakyat yang dihalau dari kawasan Bakun.

Kampung milik penduduk Kenyah, Penan dan Orang Ulu lain musnah akibat projek Bakun.

Penduduk seramai 10,000 orang dipindahkan ke rumah panjang yang cepat usang, dengan tanah kebun dan pendapatan yang kecil.

Taib juga telah mendakwa, beberapa kali dahulu, bahawa empangan Bakun tidak diperlukan, memandangkan penyampaian kuasa elektrik merentasi laut ke Semenanjung Malaysia tidak mampu dilaksanakan.

Namun demikian, Taib akhirnya juga memindahkan penghuni Bakun, meneruskan pembalakan di tanah adat NCR yang ditinggalkan oleh penduduk kampung, dan membina empangan Bakun.

Adenan hanya mampu mengulangkan janji yang sama di Baram.

Cahya Mata Sarawak (CMS), syarikat pembinaan yang dipunyai keluarga Taib, bakal meraih berbilion ringgit dari pembinaan 12 "empangan mega" di seluruh negeri Sarawak, termasuk Bakun, Murum, Baleh dan Baram - sebahagian daripada rancangan tenaga "SCORE" yang dilancarkan oleh Taib.

Pencemaran dari pembalakan haram

Tuai Kampung Panai memberitahu Malaysiakini bahawa pencemaran disebabkan pembalakan haram semakin teruk, walaupun penduduk kampung telah membuat bantahan kepada pembalak dan pihak berkuasa.

"Diesel bocor, macam anak sungai warna hitam, mengalir ke sungai dari jentolak dan tangki minyak yang dibawa masuk oleh kompeni balak," katanya.

Panai menjelaskan bahawa orang Penan memang sedar bahawa pokok-pokok tertentu mengandungi racun yang membahayakan manusia atau ikan, tetapi pokok-pokok tersebut telah ditebang dan ditolak ke dalam sungai.

"Kulit cucu saya jadi gatal lepas mandi sungai. Bekalan air kami dari paip (bekalan "gravity-feed") kering kalau kemarau beberapa hari, dan kami tak dapat guna air dari sungai sekarang."

Jentolak bukan hanya menjalankan kerja di tebing sungai dan menghakis tanah, sambung beliau, malah jentolak dipandu masuk air, menyeberangi anak sungai.

Penduduk kampung telah mendirikan "blockade" atau sekatan merentasi jalan balak, untuk menghalang jentolak, semenjak 2014.

"Bila kami mengadu kepada mandur kompeni Ling, dia cakap dia tak peduli, dia akan terus buat kerja."

Slogan "Sarawak untuk Orang Sarawak" kedengarannya janggal di kalangan masyarakat Baram.

Tanah adat dan hutan rimba sudah berada di bawah kuasa kerajaan negeri sepanjang 53 tahun "kerajaan berdemokrasi" di Bumi Kenyalang.

Walau bagaimanapun, masyarakat desa ini tidak pernah menyerah kalah. Mereka tetap mempertahankan tanah adat NCR, hutan rimba dan sungai mereka - setiap tahun, setiap pilihanraya.

Lihat Komen
ADS