Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Noriah banyak berdiam diri kebelakangan ini'

Allahyarham Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon kelihatan lebih banyak berdiam diri kebelakangan ini, kata setiausaha sulitnya Abidin Supardi.

Abidin yang sudah 12 tahun menjadi setiausaha sulit berkata, semasa di dalam helikopter pergi ke Betong, beliau melihat Noriah banyak berdiam diri.

Kata Abidin dia turut menaiki helikopter bersama Noriah ketika itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Hospital Umum Sarawak.

Abidin berkata setelah membuat pengecaman dari segi pakaian dan anggota badan, beliau mengesahkan ia adalah mayat allahyarham Noriah.

Mengenai Anggota Parlimen Kuala Kangsar yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Abidin berkata beliau memang bertukar pesawat semasa pulang dari Betong.

Katanya Datuk Wan Mohammad Khair-il menaiki pesawat malang itu sementara beliau menaiki helikopter yang kedua.

Selain Noriah dan Wan Mohammad Khair-il, suami Noriah, Asmuni Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas menaiki pesawat itu.

Helikopter jenis Eurocopter AS350 itu dalam penerbangan dari Betong pada 4.12 petang menghala ke Kuching sebelum nahas itu berlaku.

Noriah berada di Betong untuk menjalankan tugas berkaitan kementeriannya semasa kempen pilihan raya negeri ini yang hari pengundiannya esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS