Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, hari ini, menafikan wujudnya 'surat panjang lebar' dari Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang didakwa oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang.

Sehubungan itu, Shamsul yang juga anggota parlimen Bukit Katil mempersoalkan kewujudan surat tersebut dan menegaskan bahawa Anwar konsisten dengan kandungan Deklarasi Rakyat dan menyokong perkara tersebut.

Malah beliau juga meminta supaya pihak admin Facebook AMK Pulau Pinang bertanggungjawab terhadap kenyataan tersebut bagi mengelakkan kekeliruan.

"Tak timbul soal kesal dan sebagainya. Anwar konsisten dari awal dengan isi kandungan Deklarasi Rakyat dan ia harus didokong. Tak timbul.

"Anwar ini banyak surat. Kita tak tahu surat yang mana satu yang dimaksudkan oleh AMK yang tidak bernama ini. Saya harap kalau betul ia dari AMK Pulau Pinang, pihak admin harus ambil tindakan segera supaya betulkan persepsi yang mungkin akan timbul secara negatif terhadap apa sahaja ikhtiar atau usaha kita untuk berlawan dengan perdana menteri sekarang dan gesa beliau undur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Facebook AMK Pulau Pinang hari ini menaikkan satu kenyataan yang bertulis:

"Info dari Penjara Sungai Buloh. Maklumat diterima melalui Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa pimpinan dan dibawa ke pembincangan Mesyuarat Biro Politik Keadilan Pusat. Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutus surat panjang lebar yang dibacakan di Biro Politik malam ini menyatakan kekesalan beliau mengenai keterlibatan melampau parti dan pimpinan di dalam Deklarasi Rakyat, berpesan supaya pimpinan waspada dgn muslihat Mahathir-Daim.

"Pesan Ketua Umum beware the serpent that stings now wears the crown (memetik Shakespeare). Harap semua Pimpinan KEADILAN Negeri, Ketua - Ketua Cabang, Sayap AMK, Sayap Wanita dan anggota KEADILAN seluruhnya bijak menilai," tulis kenyataan AMK negeri itu.

Deklarasi Rakyat merupakan petisyen yang diwujudkan oleh gerakan 'Selamatkan Malaysia' termasuk Mahathir pada Mac lalu.

Ia bermatlamat untuk mengumpul satu juta tandatangan bagi dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja untuk memohon penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.

Selain Mahathir dan isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Mukhriz dan Muhyiddin, nama-nama besar lain yang menandatangani deklarasi itu ialah Tun Dr Ling Liong Sik, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Mustafa Ali, Lim Kit Siang dan Datuk Zaid Ibrahim.

Lihat Komen
ADS