Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan wang, wanita ketika berurusan dengan k'jaan Selangor
Diterbitkan:  May 19, 2016 8:58 PM
Dikemaskini: 1:40 PM

Satu dakwaan mengejutkan timbul mengenai kerajaan negeri Selangor, yang mendakwa selain wang, terdapat juga permintaan untuk mendapatkan wanita ketika berurusan dengan kerajaan negeri.

Ini disebut dalam perbualan Whatsapp yang bocor, apabila Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli didakwa berkata beliau menerima aduan mengenai perkara itu.

"Saya tidak mahu komen atau menafikan perkara itu," kata ahli Parlimen Pandan itu kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai permintaan tersebut.

Bagaimanapun, Rafizi mengakui wujud unsur-unsur tidak baik dalam PKR yang mempunyai potensi untuk memusnahkan parti tetapi enggan mengulas lanjut.

Malaysiakini telah menghubungi pembantu Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali untuk mendapatkan komen dan sedang menunggu jawapan mereka.

Perbualan Whatsapp yang bocor itu telah didedahkan oleh portal berita The Malaysian Mirror.

“Semalam saya mendapat laporan dan aduan dari orang bona fide bahawa selain dari wang sekarang ini ada juga permintaan ‘perempuan’ bila berurusan dengan kerajaan negeri (tidak perlulah saya hurai saudara/saudari tahu apa yang saya maksudkan).

“Mereka datang mengadu kepada saya dan saya sedang kumpul maklumat,” tulis Rafizi dalam kumpulan Whatsapp Solidariti For Anwar yang dilihat The Malaysian Mirror.

Rafizi juga menyatakan dalam perbualan itu bahawa beliau lebih mengambil berat tentang dosa berbanding strategi politik.

“Saya bukan kisah sangat mengenai strategi politik dan lain-lain.

“Selama ini tidak pernah sekali pun saya pergi ke SUK sejak saudara Azmin jadi MB untuk minta atau bincang sesuatu,” katanya.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan mengenai dakwaan yang dibuat dalam perbualan yang dikatakan bocor itu.

The Malaysian Mirror juga menerbitkan transkrip perbualan Whatsapp itu, di mana Rafizi juga menyebut "Kak Zu", yang dipercayai merujuk Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Malaysiakini juga cuba menghubungi Zuraida untuk mendapat komen.

Isu terbaru itu berlaku ketika kemunculan warkah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan pemimpin PKR mengenai bahaya bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Deklarasi Rakyat.

Ini mencetuskan spekulasi mengenai keretakan dalam PKR.

Bekas pemimpin PKR Datuk Zaid Ibrahim juga mengaitkan surat itu dengan perebutan yang dikatakan antara isteri Anwar yang juga Presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Azmin.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS