Buku bertajuk Khairy Bakal Perdana Menteri? tulisan penulis politik kontroversi Yahaya Ismail, telah diarahkan ditarik balik daripada kedai-kedia buku, sementara menunggu keputusan kerajaan sama ada akan mengharamkan penjualannya.
"Kami belum lagi membuat keputusan mengenainya kerana masih lagi mengkaji perkara itu," kata jurucakap Bahagian Perintah Larangan Kementerian Dalam Negeri ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, tiada had masa ditetapkan bagi pihak kementeriannya untuk mengkaji dan membuat keputusan mengenai kedudukan buku tersebut.
Walaupun pihak kerajaan tidak mengeluarkan arahan rasmi untuk mengharamkan penjualan buku itu, pemilik kedai buku telahpun "dinasihatkan' supaya tidak menjualnya.
"Pasukan penguatkuasa kami boleh merampas buku itu jika ianya masih dijual di kedai. Ini kerana buku itu kontroversi, terutama tajuknya," tegas jurucakap tersebut.
Seorang kakitangan kedai buku Nile di Stesen Sentral memberitahu malaysiakini, beliau telah diminta oleh pihak polis baru-baru ini supaya tidak menjual buku kontroversi itu di kedainya, tanpa menyatakan sebabnya.
"Kami diberitahu supaya jangan menjual buku itu tiga hari selepas ianya dihantar ke kedai kami. Kita masih ada 50 buku lagi yang belum dijual," tegasnya.
Buku dalam Bahasa Malaysia itu mula dijual Disember lalu. Bagaimanapun, ia menarik perhatian banyak pihak apabila beberapa media menyiarkan ulasan mengenai kandungannya.
Buku setebal 304 halaman itu dijual dengan harga RM29.90 senashkah dan dianggap sebagai buku yang 'mesti dibaca' oleh peminat politik tanahair.
Buku ini menyentuh bagaimana Khairy yang juga menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang kini berusia 29 tahun, merupakan bintang politik yang sedang bersinar yang bakal menjadi pemimpin tertinggi di negara ini.
"Rancangan sulit"
Buku itu mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Abdullah telah berpakat untuk menyekat kemaraan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada menjadi Perdana Menteri.
Penulisnya, Yahaya Ismail, mendakwa wujudnya satu 'rancangan sulit' untuk membawa Anwar kembali ke dalam Umno sebelum pemilihan parti itu pada 2007 untuk membolehkannya mencabar Najib bagi jawatan timbalan presiden.
Rancangan itu, dakwa Yahaya, bertujuan membuka laluan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri selepas pilihanraya umum 2008 atau 2009, apabila Abdullah melepaskan jawatannya.
Sementara itu, dakwa Yahaya lagi, Khairy pula akan dilantik menjadi menteri kabinet sebelum memegang jawatan timbalan perdana menteri apabila Anwar mengambil alih tampuk kuasa.
Menurut Yahaya, Khairy akan mengambil alih kepimpinan selepas Anwar bersara.
Sementara itu, Khairy yang juga Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, menyifatkan kandungan buku itu sebagai "tidak masuk akal".
Beliau dilaporkan oleh Straits Times Singapura baru-baru ini sebagai berkata penerbitan buku itu "...adalah cara yang baik untuk mereka yang tidak berkesusilaan untuk membuat wang".
"Saya ada membaca sedikit. Tidak kisahlah apa yang ditulisnya. Siapa yang boleh kata siapa yang akan naik? Tugas Perdana Menteri bukan untuk menaikkan anak-anaknya atau sesiapapun," tegasnya.
Belum pernah diharamkan
Yahaya pula tidak faham mengapa kerajaan mahu mengharamkan bukunya itu. Penerbitan buku tidak seperti majalah dan akhbar tidak memerlukan permit daripada kerajaan.
"Saya telah menulis buku sejak tahun 1977 dan menghasilkan lebih 30 buku yang juga dianggap kontroversi. Malah saya telah dilabel sebagai penulis kontroversi tetapi tidak satupun daripada buku-buku saya itu yang pernah diharamkan," katanya kepada malaysiakini.
"Malah sewaktu era Mahathir (bekas Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad), saya mengkritiknya bukan sekali, tetapi empat lima kali dalam buku-buku saya, tetapi satupun yang pernah diharamkan.
Menurut Yahaya lagi, bukunya itu tidak mengandung unsur-unsur sensitif yang membabitkan soal agama ataupun perkauman yang membolehkannya diharamkan.
"Saya belum terjumpa sesiapapun yang mengkritik buku itu. Malah, saya menerima panggilan daripada banyak orang, termasuk ahli politik Umno, malah seorang menteri yang saya tidak mahu sebut nama di sini...tidak seorang daripada mereka yang berkata saya mempunyai agenda politik," kata Yahaya.
Jika buku itu diharamkan, kata Yahaya, tindakan akan memberi gambaran yang buruk terhadap kerajaan Abdullah yang mempromosi Islam Hadhari di mana salah satu asas utamanya ialah "kesaksamaan dan keadilan".
Yahaya bagaimanapun enggan memberitahu jumlah bukunya yang sudah terjual atau jumlah cetakannya, kecuali mengatakan jumlah yang telah dijual mencukupi untuk memberinya sedikit keuntungan.
