Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak permohonan Anwar bawa bekas bos CCID

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memanggil bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Datuk Ramli Yusof untuk memberi keterangan dalam pendengaran semakan semula sabitan dan hukuman Liwat II.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dalam keputusan sebulat suara berkata memanggil Ramli tidak termasuk dalam skop Peraturan 137, Akta Mahkamah Kehakiman 1964, di mana permohonan untuk mengemukakan keterangan lanjut hendaklah dibuat semasa prosiding dan bukan ketika semakan semula.

Mahkamah juga memutuskan bahawa keterangan Ramli yang diberikan dalam perbicaraan sivil yang berasingan, tiada berkaitan dengan kes itu.

"Oleh itu kita menolak permohonan itu," katanya dalam penghakimannya.

Ramli adalah bekas timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) pada 1998 ketika kemuncak insiden Liwat I dan menjadi saksi dalam insiden mata lebam.

Empat lagi anggota penal hakim hari ini ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Peguam Gopal Sri Ram, Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya, Shahid Adli Kamaruddin mewakili Anwar. Pendakwaan dikendalikan Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Berikutan itu, mahkamah meneruskan untuk membincangkan mengenai tarikh pendengaran semakan semula itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS