Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wakil Umno: Azmin bakal kena sabotaj di Sungai Besar
Diterbitkan:  May 23, 2016 1:35 PM
Dikemaskini: 5:38 AM

Seorang ADUN Umno membuat spekulasi mungkin ada percubaan untuk mensabotaj Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali pada pilihan raya kecil parlimen Sungai Besar akan datang.

Halimaton Saadiah Bohan berkata pesaing politiknya dalam PKR dan Pakatan Harapan mungkin melakukan ini untuk memalukan Azmin yang juga adalah timbalan presiden PKR.

Azmin dikatakan cuba melobi supaya calon PKR mewakili Pakatan Harapan pada pilihan raya 18 Jun ini yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon.

Walau bagaimanapun, PAS menyatakan dengan jelas bahawa parti itu tidak akan berganjak.

Pada pilihan raya umum 2013, Pakatan Rakyat menurunkan calon PAS yang tewas dengan majoriti tipis sebanyak hampir 400 undi.

Sementara itu, Halimaton berkata, jika calon pembangkang dikalahkan, keputusan itu akan digunakan sebagai modal dalam usaha menekan dan seterusnya memburukkan imej Azmin.

“Kecil atau besar sabotaj yang akan dilakukan saya percaya akan berlaku. Takkanlah musuh politik beliau di dalam parti dan juga pakatan harapan akan berpeluk tubuh. Inilah masa dan peluang yang terbuka luas untuk memburukan imej beliau.

"Letaklah calon daripada parti mana sekalipun usaha untuk mensabotaj tetap akan berlaku….kita tengoklah nanti,” kata ADUN Kota Damasara itu yang dipetik oleh Umno-Online hari ini.

Halimaton seterusnya dilaporkan berkata budaya sabotaj sesama sendiri di dalam parti pembangkang bukanlah perkara pelik dengan melihat apa yang berlaku pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini.

Beliau merujuk tindakan DAP dan PKR yang bertembung di kerusi selepas rundingan mencecah jalan buntu.

Sejak kebelakangan ini, terdapat spekulasi kuat bahawa keretakan mula dikesan dalam PKR.

Minggu lalu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan menerima aduan mengenai permintaan untuk habuan wang dan wanita dalam rundingan dengan kerajaan negeri Selangor.

Azmin menolak dakwaan itu sebagai tidak berasas, dengan mendakwa ia satu kempen untuk memburuk-burukkan pentadbirannya.

Sebelum ini, warkah nukilan mantan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menimbulkan kekecohan.

Dalam surat lapan halaman itu, Anwar mengingatkan PKR mengenai bahaya bekerja dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam gerakan Deklarasi Rakyat.

Pemerhati politik percaya surat itu ditujukan kepada Azmin, yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan bekas perdana menteri berkenaan.

Pilihan raya kecil Sungai Besar di Selangor dan juga di Kuala Kangar di Perak yang juga akan diadakan pada hari sama, turut disebut-sebut sebagai ujian litmus bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung beberapa dakwaan terhadapnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS