Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganggur rayu dipenjara tak mampu bayar denda
Diterbitkan:  May 24, 2016 7:31 AM
Dikemaskini: 11:41 PM

Seorang penganggur yang mengaku bersalah mencuri lapan botol syampu bernilai RM111.12, dipenjara empat bulan semalam selepas merayu supaya dihukum penjara kerana tidak mampu membayar denda.

Majistret Mohd Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Fairuz Othman, 34, dan memerintahkannya menjalani hukuman itu dari tarikh tangkap pada 20 Mei lepas.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pasaraya Mydin Sinar Kota, Jalan Silang di ibunegara pada jam 11.41 pagi 20 Mei lepas mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohd Fairuz yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kerana dia tidak mampu untuk membayar denda.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar memohon agar tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal dan berbentuk pengajaran.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian seorang pengawal keselamatan melihat tertuduh memasukkan beberapa botol syampu ke dalam beg dan keluar tanpa membayarnya di kaunter.

Sementara itu, seorang kakitangan pentadbiran dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam atas pertuduhan mencabul seorang wanita warga Myanmar.

Muhammad Amirul Abdullah, 37, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan perbuatan itu pada kira-kira jam 5.30 petang 4 Mac 2014 di tangga tingkat dua di rumah wanita itu.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tiada anggota keluarganya hadir di mahkamah.

Beliau menetapkan 20 Jun untuk sebutan semula kes..

- Bernama

Lihat Komen
ADS