Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Antara BN atau PAS, ada ahli DAP yang mungkin undi BN'
Diterbitkan:  May 24, 2016 12:26 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

'Antara BN atau PAS, ada ahli DAP yang mungkin undi BN', demikianlah luahan yang ditelan Tony Pua semasa lawatan bertemu ahli-ahli akar umbi DAP nya di pekan Sungai Besar dan Sekinchan pada hujung minggu yang lalu.

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, keadaan tersebut jelas menunjukkan betapa kecewanya ahli-ahli DAP terhadap PAS kerana mengkhianati undi mereka dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Mereka menganggap bahawa PAS telah mengkhianati undi pada pilihanraya yang lalu kerana parti itu telah mengkuburkan Pakatan Rakyat," kata Tony dalam kenyataannya, hari ini.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertegas bahawa partinya akan tetap bertanding di PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun depan.

Sambil menyifatkan hubungan dengan PKR masih macam biasa, Abdul Hadi tidak akan berganjak dari keputusannya itu walaupun PKR berunding untuk parti Islam itu melepaskan kerusi Sungai Besar.

"Hubungan masih macam biasa. (Tapi) kita tetap akan bertanding (dalam PRK)," kata Hadi kepada pemberita di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur malam tadi, selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat PAS.

Mengulas lanjut, Pua menegaskan, DAP akan menyokong calon Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Sungai Besar meskipun ia menjadi pertarungan tiga penjuru dengan BN dan PAS

"Kami berpandangan bahawa Pakatan Harapan mesti meletak calon dalam pertarungan ini meskipun ia menjadi satu pemilihan tiga penjuru dengan BN dan PAS.

"Adalah wajib supaya Pakatan Harapan diwakili dalam pilihan raya kecil ini supaya penyokong Pakatan Harapan yang begitu ramai dapat memilih parti yang benar-benar menentang kerajaan BN yang rakus dan rasuah.

"Dengan itu, DAP Selangor akan memberikan sokongan 100% kepada calon Parti Amanah Negara yang mewakili Pakatan Harapan dalam pemilihan tiga-penjuru di Sungai Besar," katanya.

Lihat Komen
ADS