Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk turut sama berkempen menentang BN pada dua pilihan raya kecil di parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar bulan depan tidak akan mengubah perancangan parti pemerintah.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata ini kerana BN mempunyai gerak kerja yang tersendiri bagi memenangkan calon mereka.

"Sama ada dia (Mahathir turun kempen atau tidak ia tidak akan ubah perancangan Pemuda Umno.

"Kita ada gerak kerja kita, BN secara amnya pun ada gerak kerjanya.

“Jadi, kita tak pandang pada siapa yang nak lawan kita, siapa kempen menentang kita, kita hanya akan beri tumpu kepada gerak kerja kita sahaja," kata Khairy dalam sidang media mesyuarat Pemuda Umno Malaysia di PWTC hari ini.

Khairy mengulas kesedian bekas perdana menteri itu berkempen bagi menentang BN pada dua PRK akan datang.

Mengulas lanjut seruan pemimpin veteran Umno itu agar pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menolak BN, Khairy yang juga adalah menteri belia dan sukan berkata terpulang kepada pengundi untuk menilai siapa wakil rakyat terbaik bagi kawasan parlimen masing-masing.

Malah, katanya, BN kali ini tidak akan mengikut rentak pembangkang dalam berkempen bagi memenangi PRK.

"Sudah pasti beliau akan keluarkan seruan tersebut tetapi kita juga akan kempen supaya pengundi sokong BN.

"Kita tidak akan membawa budaya samseng dalam PRK ini, kita akan beri tumpuan kepada tugas kita dan kita akan pastikan sokongan pengundi muda akan berpihak kepada kita.

"Tetapi mengikut rentak pembangkang menjadi agresif dari segi budaya samseng itu bukanlah perancangan kita," kata Khairy.

Menurut beliau, BN juga tidak akan ambil peduli siapa yang akan membantu calon lawan partinya pada pilihan raya kali ini.

"Kita tak akan ambil kisah sangat masalah parti lawan atau siapa akan bantu mereka kempen.

"Terpulanglah pengundi menilai siapa yang lebih baik tetapi bagi BN kita tidak akan ikut rentak pembangkang, kita tidak akan ikut rentak Mahathir kita hanya akan fokus kepada kerja kita sahaja," katanya.

Kerusi parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, yang dimenangi BN dalam pilihan raya umum lalu kosong berikutan kematian kedua-dua ahli parlimennya dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lalu.

Pilihan raya kecil untuk kedua-dua kawasan itu akan diadakan pada 18 Jun depan.

 

Lihat Komen
ADS