Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas kemarau, hujan ribut pula landa Perlis

Selepas mengalami musim kemarau sejak awal tahun ini, Perlis dilanda ribut luar biasa hampir tiga jam petang ini mengakibatkan lebih 10 buah rumah termasuk hospital dan sekolah rosak teruk.

Jurucakap JPAM Perlis, Mohd Rizuan Abd Gani berkata hujan berserta angin kencang itu menyebabkan hampir 10 kejadian pokok tumbang dan pelbagai kerosakan harta benda termasuk bumbung rumah dan bangunan diterbangkan angin.

"Pada lima minit pertama kejadian ribut yang bermula 1.30 tengah hari tadi, JPAM menerima 20 panggilan dan sebaik keadaan reda pada 4.30 petang tadi, keseluruhan 74 kes diterima.

"Sebanyak 55 anggota JPAM akan bekerja lebih masa untuk membersihkan kawasan-kawasan yang terjejas serta membantu mereka yang terbabit," katanya dalam kenyataan di Kangar hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Abdul Razak Abdullah berkata, setakat 2.45 petang tadi lebih 20 laporan diterima berkaitan pokok tumbang dan kerosakan harta benda.

"Beberapa kenderaan mengalami kerosakan akibat dihempap pokok yang tumbang, serta banyak jalan mengalami kesesakan lalu lintas," katanya dalam satu kenyataan.

Antara kawasan terjejas ialah di kawasan Kangar, Jejawi, Behor Mali, Kampung Bakong, Santan, Kok Kelang, Ulu Pauh, Abi dan Sungai Batu Pahat di Kangar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS