Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tiada lagi sebarang rundingan bersama PKR memandangkan parti Islam itu telah membuat ketetapan untuk bertanding pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Malah, Nik Abduh berkata, rundingan bersama PKR untuk meletakkan calon di dua kerusi parlimen itu juga telah lama selesai.

"Tak ada (apa-apa rundingan). Rundingan dah banyak hari habis dah. Cuma sekarang ini ialah Pakatan Harapan yang tak buat keputusan mereka lagi. Itu urusan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita sama ada masih terdapat rundingan antara PKR dan PAS untuk meletakkan calon pada pilihan raya kecil 18 Jun depan.

Bagaimanapun pemimpin PKR terus menaruh harapan agar pembangkang tidak bertembung sesama mereka pada pilihan raya kecil itu.

Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pihaknya masih berbincang dengan PAS.

Malah, beliau meminta supaya pemberita menantikan keputusan mesyuarat Pakatan Harapan yang dijadualkan esok.

"Kita masih teruskan. Presiden PKR sudah buat kenyataan bahawa rundingan dan perbincangan dengan PAS masih diteruskan.

“Saya tidak rasa kita akan dedahkan apa hasil perbincangan itu. Tunggu mesyuarat (Pakatan Harapan)," kata Shamsul.

Sebelum ini, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan bagi membincangkan isu berkaitan pilihan raya kecil berkenaan telah ditangguhkan sebanyak dua kali kerana tidak mendapat maklum balas dari PAS.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Nik Abduh berkata pihaknya bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan berikutan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang ingin turut serta berkempen pada pilihan raya kecil kali ini.

Malah, katanya Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) juga akan turut membantu PAS bagi memastikan kemenangan partinya.

"Kita dah buat perkiraan tentang semua kumpulan yang bertelagah harini. PAS bersedia dan ada strategi untuk berhadapan dengan Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Dan kita tahu bahawa kumpulan Tun M akan menjejaskan Umno," kata anggota parlimen Pasir Mas itu lagi.

Lihat Komen
ADS