Paling Popular
Terkini

ULASAN Reformasi bukan seperti tajuk lagu band Ekamatra, “Pusara di lebuh raya.”

Perjalanan ku terhenti

Di lebuh raya ini

Terpandang pusara diam menyepi…

Nah! Reformasi bukan tunggul mati. Sang pembaharu tidak boleh dan tidak bisa terperangkap di masa lalu. Peristiwa selingkar 1998 itu menjadi gah bukan sahaja kerana tersingkirnya Anwar Ibrahim, tetapi apabila munculnya keberanian rakyat turun ke jalan raya dalam siri demonstrasi yang tiada hujung. Belum pernah dalam sejarah tanah air, rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa, lebih-lebih lagi anak muda begitu berani melakukan tunjuk perasaan.

Sudah tentu reformasi bukan hanya tunjuk perasaan. Niatnya adalah untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan. Tanpa menyedari apa masalah bangsa, kita tak sedar apa perlunya terus bergerak mencari jawapan.

Justeru itu, “Pengisytiharan Permatang Pauh” menetapkan tiga perkara pokok. Satu, menuntut perdana menteri waktu itu meletak jawatan; kedua, melakukan reformasi; dan ketiga, menyentuh soal demokrasi.

Maksudnya, Reformasi 1998 itu tidak hanya tuntutan politik kekuasaan. Ada tuntutan penambahbaikan sistem pemerintahan yang bersekali dengan perbincangan mengenai demokrasi. Dari sana, muncullah tuntutan seperti kebebasan badan kehakiman, hak asasi meliputi hak berhimpun, hak bersuara, kebebasan media serta pilihan raya yang adil dan bersih.

Inilah jasa besar Reformasi 1998 apabila perjuangan itu punya teras pemikiran dan percambahan idea kenegaraan. Sampai hari ini pun, perkara berkenaan masih dibincangkan dan memberi tekanan masa ke semasa kepada pemerintah.

Namun, reformasi bukan pusara di lebuh raya. Sedari awal perjuangan tidak terikat untuk membela hanya satu-dua tokoh. Itu bukan matlamatnya. Bukan juga idealismenya. Reformasi dan segala perjuangan yang bersambung darinya harus dengan keyakinan asas untuk menentang kejahatan dan kezaliman; menegakkan kebaikan dan keadilan.

Selepas 18 tahun, muncul pula Deklarasi Rakyat - satu dokumen hitam putih baru yang cukup berkemajuan. Dokumen itu cukup progresif apabila pertama kali di dalam sejarah Malaysia sejak sebelum dan selepas merdeka, ianya perlu ditandatangi oleh rakyat.

Banyak petisyen sebelum ini yang cuba mendapat tandatangan masyarakat, namun jumlahnya tidaklah sepertimana yang berjaya dikumpul oleh Deklarasi Rakyat. Dengan perlu membubuh nama penuh, nombor kad pengenalan dan tandatangan, kini jumlah penandatangan mencecah 1.3 juta warganegara!

Roh Deklarasi Rakyat tak ada bezanya dengan dengan roh Pengisytiharan Permatang Pauh.

Deklarasi Rakyat tetap menuntut seorang perdana menteri meletakkan jawatan. PM hari ini adalah Najib Razak, dan bukan lagi Dr Mahathir Mohamad sepertimana di era Reformasi 1998 dahulu.

Begitu juga dengan tuntutan memperbaiki sistem bobrok termasuklah sistem kehakiman yang pincang, sistem pilihan raya yang berat sebelah mahupun bersuara yang terpasung sedangnya ia adalah hak asasi rakyat sepertimana dalam “Pengisytiharan Kemerdekaan” oleh Tunku Abdul Rahman pada 1957.

Lantaran itu, tidak ada sebab munasabah untuk Deklarasi Rakyat ditolak termasuk di kalangan pimpinan parti-parti pembangkang, apatah lagi oleh rakyat yang mahukan perubahan demi mengembalikan demokrasi di negara ini.

Deklarasi tersebut sekaligus menandakan kecintaan rakyat kepada tanahair dengan perasaan jelas nyata tidak mahu negara dirosakkan oleh seorang perdana menteri dan mereka yang bersekongkol dengannya.

Apabila disebut “mereka yang bersekongkol dengannya”, secara langsung akan memberi impak kepada Umno-BN. Parti pemerintah itu dengan sendirinya akan lumpuh. Sudah tentu ramai di antara mereka yang bersekongkol dengan PM Najib bukan hanya para eksklusif dalam 1MDB,tetapi juga di kalangan pak-pak menteri Umno-BN.

Dengan lebih halus, Deklarasi Rakyat sebenarnya akan menjadikan Umno-BN kehilangan majoriti di dalam Dewan Rakyat, tanpa menyebutkan dengan jelas hal tersebut. Lebih jauh daripada itu, Deklarasi Rakyat juga akan bisa mencabut nyawa Umno-BN dalam PRU ke-14 nanti.

Tetapi, pembangkang tidak akan menang dengan dua hal. Pertama, apabila berlakunya perpecahan.

Kedua, apabila pembangkang masih tidak dapat meraup sokongan rakyat terbanyak termasuk di kalangan anggota Umno.

Perkara ini tidak akan berlaku apabila soal dalaman parti pembangkang bocor dan kembali digunakan oleh media pemerintahan.

Saya sedar ramai orang sedar hal ini, namun, mahu menjauhkan perjuangan Reformasi daripada hanya kerana seorang bekas perdana menteri, tidak akan pula menguntungkan perjuangan dan rakyat. Untuk apakah masih kita takut atau cuba-cuba menimbulkan rasa ragu kepada Dr Mahathir di saat Dr Mahathir bukan lagi berada di tampuk kekuasaan? Lebih tidak munasabah apabila jumlah pemimpin Umno di dalam Gerakkan Selamatkan Malaysia adalah minoriti.

Di dalam Gerakkan Selamatkan Malaysia terang-terang lebih ramai pemimpin pembangkang dan NGO yang berwibawa telah pun mengikat diri bersama. Saya tak fikir pemimpin pembangkang dan NGO-NGO itu terlalu dangkal untuk dipukau oleh seorang tua berusia 91 tahun. Tanpa ragu, generasi muda hari ini nampaknya tetap mahu menggerakkan perjuangan selamatkan Malaysia melalui Deklarasi Rakyat.

Ini dapat dirasai melalui suara anak muda seperti Syed Saddiq Abdul Rahman, seorang anak mahasiswa yang yakin Deklarasi Rakyat sangat releven sebagai gerakan politik kerakyatan semasa. Tentulah dia lebih memahami denyut nadi zamannya. Tentulah anak-anak muda sepertinya yang akan mewarisi tanahair ini.

Justeru itu, memang tidak wujud pertentangan idealisme dan asas-asas perjuangan sama ada di dalam Pengisytiharan Permatang Pauh sebagai dokumen teras Gerakan Reformasi 18 tahun, dengan, Deklarasi Rakyat hari ini. Ia ibarat puisi Iqbal, “Zabur-e Aja”:

Membakar semangat baru

untuk bangsa dan zaman ini;

memberi nyawa baru

pada jasad yang telah tua.

Ah! Mungkin puisi terlalu ‘tinggi’. Saya hanya ingin mengabiskan tulisan ini dengan balik meminjam suara Rahmat Ekamatra - “Pusara di lebuh raya”.

Betapa aku, lemah di sini

Melihat cinta ini pergi

Di sini bermula bicara

Terpedaya…

Dan bicara itu membunuhnya.

Kini engkau tiada lagi

Yang tinggal hanya mimpi

Dan cinta ku yang telah bersemadi

Ku teruskan perjalanan

Ku tinggalkan impian

Ke arah tujuan cinta abadi.

Pesan daripada lagu sederhana itu hanya kepada soal fitrah bahawa masa tetap bergulir. Hidup dan perjalanan wajib diteruskan. Masa depan Malaysia adalah hari esok yang demokratik dan adil - itulah yang dijanjikan Gerakkan Reformasi, 18 tahun lalu.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalantelawi.

 

Lihat Komen
ADS