Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Proton dapat bantuan RM13.9 bilion sejak 1985, kata MITI
Diterbitkan:  May 26, 2016 11:51 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Kerajaan telah menyalurkan bantuan sejumlah RM13.9 bilion kepada pengeluar jenama kereta nasional, Proton sejak ianya ditubuhkan 31 tahun yang lalu, Dewan Rakyat diberitahu.

Dalam jawapan bertulis kepada ahli parlimen Rasah, Teo Kok Seong dari DAP, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jumlah itu termasuk geran kerajaan, pengecualian cukai dan bantuan bukan fiskal yang lain.

"Ini bagi memastikan firma itu kekal berdaya saing dalam industri yang begitu mencabar," kata Mustapa yang juga ahli parlimen Jeli.

Teo bertanya jumlah bantuan yang diberikan kerajaan dan sebab-musabab dakwaan kegagalan Proton, walau selepas menerima bantuan.

Pada bulan Mac yang lalu, Singapore Straits Times telah melaporkan Proton memerlukan geran sebanyak RM1.47 bilion dari kerajaan, pada kadar segera, untuk kekal dalam perniagaan.

Proton, pada masa itu, enggan mengulas laporan Straits Times itu.

Mustapa, bagaimanapun, menafikan Proton gagal untuk berdaya maju, dengan memetik sumbangan cukai sebanyak RM24 bilion sejak 1985.

"Dalam ekosistem (Proton), terdapat 12,000 tenaga kerja tempatan yang menyara kehidupan secara langsung dengan Proton manakala 130,000 yang lain bekerja secara tidak langsung dalam industri automotif," jelasnya.

Jumlah tersebut tidak termasuk ratusan usahawan tempatan yang terlibat dalam perniagaan menjual komponen dan alat ganti, bilik pameran, pusat servis dan lain-lain.

Lihat Komen
ADS