Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Walaupun mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada mulanya dibatalkan, namun ia diadakan tanpa kehadiran Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali serta Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Mesyuarat yang diadakan di pejabat ketua pembangkang di tingkat 14, Menara Parlimen itu diadakan kira-kira jam 1.25 petang.

Mesyuarat itu diakhiri kira-kira jam 2 petang.

Ia dihadiri oleh pemimpin Pakatan Harapan antaranya Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, Setiausaha Majlis Presiden Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah.

Bagi DAP pula ia diwakili oleh antaranya Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke.

Pagi tadi, dalam sidang media di lobi Parlimen, Wan Azizah yang juga ketua pembangkang memberitahu, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan tangguh sekali lagi disebabkan ramai pimpinan yang tidak dapat hadir pada mesyuarat yang sepatutnya diadakan hari ini.

"Menteri Besar (Azmin) tak ada, Setiausaha Agung (Rafizi) tak ada sebab di mahkamah, dan Ketua Menteri (Lim) pun tak ada.

"Kita dapati ramai pimpinan utama yang penting tak ada," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung penangguhan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang tertangguh buat kali ketiga hari ini.

Lihat Komen
ADS