Paling Popular
Terkini

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan membenarkan rang undang-undang persendirian dibawa presiden PAS dibentangkan di Parlimen semalam.

Khalid yang menyifatkan perkara tersebut sebagai "ajaib" mendakwa, tindakan kerajaan itu dilihat cuba menutup isu skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion menjelang dua pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Malah, anggota parlimen Shah Alam itu juga mendakwa tindakan itu juga dianggap sebagai "agenda PAS" bagi menghadapi muktamar yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mei hingga 3 Jun ini.

"Ia dilihat hanya silap mata politik untuk menutup isu 1MDB, GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan (isu) RM2.6 bilion serta kos kehidupan yang semakin meningkat, supaya rakyat Melayu sibuk dengan isu rang undang-undang kuasa mahkamah syariah," katanya di Shah Alam hari ini.

Semalam Dewan Rakyat membenarkan usul meminda Akta 355 Mahkamah Syariah Kelantan dibacakan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun perbahasan mengenai usul itu ditunda ke sidang akan datang Parlimen - juga atas permohonan Abdul Hadi.

Semalam adalah hari terakhir persidangan Parlimen bagi sesi kali ini.

Menurut Khalid, disebabkan PAS akan mengadakan muktamar pada minggu depan di Kelantan, langkah Abdul Hadi itu dianggap pengguna Internet sebagai agenda parti berkenaan menghadapi perwakilan.

"Dengan kata lain, ia (adalah) pendekatan baru PAS (bekerjasama dengan Umno) semenjak geng AMANAH keluar, telah berhasil," katanya.

Mengapa bentang tak bahas

Khalid juga mempersoalkan tindakan Abdul Hadi yang hanya membacakan usul tersebut tetapi tidak membahaskannya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Wanita AMANAH Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) yang juga anggota parlimen Kota Raja.

Kata Khalid yang juga bekas ahli jawatankuasa pusat PAS beliau hairan apabila usul tersebut ditangguhkan ke sidang Parlimen akan datang sedangkan perkara itu telah diperjuangkan PAS sejak sekian lama.

"Dah pernah bawa usul ini sebanyak tiga kali, tetapi kenapa tak bahas? Kalau nak buat, buat betul-betul.

"Apa implikasinya jika bentang tapi tak bahas? Kalau sekadar baca, benda ini tiada apa-apa.

"Apa jaminan ia (rang undang-undang persendirian) akan diberi layanan seperti sekarang pada bulan Oktober (apabila parlimen bersidang semula)?

"(Pelbagai) andaian timbul kerana ia tergantung," katanya lagi.

Sementara itu, Siti Mariah pula berpendapat usul persendirian itu 'kejutan' bagi anggota parlimen lain kerana ia disenaraikan pada hari terakhir Dewan Rakyat bersidang.

"Kebimbangan kita ialah perkara ini (timbul) di saat-saat akhir. Tak sempat buat apa-apa persiapan. Kita tahu ini usul kontroversi jadi perlu buat persediaan.

"Semalam saya rasa ia seolah-olah serkap jarang, sebab dalam dua minggu bersidang, tiba-tiba hari terakhir keluar (usul persendirian)," ujarnya.

Lihat Komen
ADS