Paling Popular
Terkini

Parti Amanah Negara (AMANAH) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Berita Harian kerana didakwa menyalah lapor pendirian parti tersebut terhadap usul rang undang-undang persendirian berkaitan Akta 355 Mahkamah Syariah Kelantan semalam.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata beliau sudah menghubungi peguam dan mengarahkannya mengeluarkan surat tuntutan ke atas penerbit akhbar berkenaan.

"AMANAH akan gunakan surat tuntutan itu untuk minta mereka memohon maaf kepada saya dan AMANAH di muka hadapan, sama seperti yang mereka buat hari ini. Atau (jika gagal) mereka akan disaman," katanya.

Khalid berkata demikian pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Tambah anggota parlimen Shah Alam itu, pihaknya akan menghantar surat tuntutan tersebut selewat-lewatnya Selasa depan.

Muka depan Berita Harian hari ini menyiarkan laporan: "Kerajaan beri PAS laluan; DAP, AMANAH bantah" bagi berita usul dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang di parlimen semalam.

Usul itu pada asalnya disenaraikan di bahagian hujung aturan mesyuarat namun dibawa ke depan untuk dibentangkan melalui cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Cadangan itu kemudian disokong Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Rashid Shirlin yang juga anggota parlimen Papar.

Khalid menjelaskan, beliau tidak membantah usul tersebut sebaliknya hanya mempersoalkan bagaimana rang undang-undang persendirian dibawa anggota parlimen Marang itu boleh mengetepikan usul lain dibawa kerajaan.

"Saya tak bantah malah sokong tafsiran yang dibuat oleh Speaker Tan Sri Pandikar (Amin Mulia) yang membenarkan usul itu dibaca atau dibentang.

"Saya cuma nak tahu apa pertimbangan yang dibuat kerajaan apabila dia mendahulukan usul persendirian (mengatasi) semua urusan kerajaan dalam senarai perkara yang hendak dibahaskan," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya bagaimanapun parti itu ingin berdepan dengan DAP sekiranya rang undang-undang tersebut dibahaskan, Khalid berkata pihaknya akan sentiasa terbuka serta mengadakan perbincangan.

Katanya, apa yang penting ialah AMANAH tidak akan mengambil pendekatan memusuhi pihak yang menentang usul berkenaan.

"Kita tidak anggap pihak yang tidak bersetuju sebagai musuh. Kita tidak mempunyai pendekatan sedemikian.

"Orang Islam sendiri pun ada tak setuju apatah lagi yang bukan Islam. Namun ia satu usaha berterusan untuk yakinkan semua pihak bahawa Islam yabg terbaik.

"Ia perlu perbahasan dan perbincangan tapi bukan perlu memusuhi mereka kalau tak bersetuju," katanya.

Lihat Komen
ADS