Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli KWSP naik 3%, hampiri 15 juta dengan 538,639 majikan
Diterbitkan:  May 27, 2016 6:51 PM
Dikemaskini: 10:58 AM

Jumlah ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat 2.77 peratus kepada 14.69 juta pada suku pertama 2016, berbanding 14.29 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP berkata 6.82 juta adalah ahli aktif.

Jumlah majikan baru berdaftar dengan KWSP pada suku pertama 2016, bagaimanapun mencatatkan penurunan 20.56 peratus daripada 20,463 pada suku pertama 2015 kepada 16,256, menjadikan jumlah majikan keseluruhannya sebanyak 538,639.  

Jumlah caruman diterima dalam suku tahun yang dikaji ialah sebanyak RM16.86 bilion, meningkat 4.01 peratus daripada RM16.21 bilion pada suku pertama 2015.

Suku tahun yang dikaji juga menyaksikan kenaikan 17 peratus dalam jumlah permohonan bagi Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun yang diluluskan kepada 91,099 daripada 77,865 pada 2015, katanya.  

Skim ini mencatat jumlah pengeluaran sebanyak RM3.03 bilion berbanding RM2.68 bilion pada suku pertama 2015.

Menurut kenyataan itu, permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun pada suku pertama 2016 berjumlah 60,844, melibatkan RM3.35 bilion.

Ini merupakan peningkatan 9.78 peratus berbanding 55,422 permohonan diluluskan dalam suku pertama 2015 yang berjumlah RM2.60 bilion (Suku keempat 2015: 44,166, RM2.03 bilion).

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, peningkatan dalam permohonan yang diluluskan di bawah Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun menggambarkan kecenderungan ahli untuk terus menyimpan dengan KWSP.

"Dengan cara ini, ahli dapat mengembangkan simpanan mereka dan mengambil keuntungan ke atas dividen tahunan," kata beliau.

Permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Perumahan terus mencatatkan kenaikan daripada 96,314 dalam suku pertama 2015 kepada 104,373 dalam suku pertama 2016.

Jumlah permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Pelaburan melalui Skim Pelaburan Ahli pada suku pertama 2016 sebanyak 171,866, melibatkan jumlah RM1.53 bilion, meningkat 28.88 peratus dari 133,351 dalam suku pertama 2015 (Suku keempat 2015: 159,099).

Menurut kenyataan itu, pengeluaran pendidikan pula mencatatkan peningkatan 90.36 peratus pada suku pertama 2016 kepada 44,292 permohonan diluluskan berbanding 23,267 dalam suku pertama 2015.

- Bernama

Lihat Komen
ADS