Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hudud: Presiden MIC juga mahu letak jawatan kabinet

Presiden MIC, Datuk S Subramaniam menyertai pemimpin BN yang lain akan meletakkan jawatan daripada kabinet jika hudud dilaksanakan.

"Jika selepas semua usaha kami hudud masih dilaksanakan, saya akan meletakkan jawatan dalam kerajaan," katanya dalam mesyuarat luar biasa (EGM) MIC di Subang Jaya hari ini.

Pengumuman beliau disambut dengan tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Subramaniam menyertai pemimpin MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Seri Wee Ka Siong serta Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong yang mengancam meletak jawatan jika hudud dilaksanakan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan bagaimanapun mengelak ketika ditanya sama ada beliau juga akan mengikut jejak langkah sama.

"Saya tidak mahu terburu-buru. Presiden kata apa yang dia mahu kata," kata Saravanan kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Ikrar untuk melepaskan jawatan itu dibuat selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang Khamis lalu membacakan usul Rang Undang-Undang persendirian untuk meminda hukuman lebih berat dalam undang-undang syariah, sebelum menangguhkannya.

Subramaniam berkata rang undang-undang itu akan membuka jalan bagi pelaksanaan hudud di Kelantan, yang kemudian mungkin merebak ke negeri-negeri lain.

Ini kemudian akan mewujudkan dua sistem undang-undang jenayah, yang katanya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri kesihatan itu berkata MIC juga mahu penjelasan lanjut daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai rang undang-undang itu kerana mengatakan ia 
tiada kaitan dengan hudud.

"Saya berharap kenyataan perdana menteri bahawa kita hanya akan membuat keputusan mengenai hudud setelah mendapat persetujuan akan diberi keutamaan," katanya.

Sementara itu Subramaniam berkata EGM hari ini juga bersetuju supaya pemilihan parti itu ditangguhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Perkara-perkara lain yang dibincangkan pada pertemuan itu termasuk penukaran unilateral, peluang perniagaan untuk kaum India, dan polarisasi kaum di sekolah.

Terdahulu semasa EGM itu, kira-kira 50 penyokong bekas presiden MIC Datuk Seri G Palanivel membuat kekecohan di luar dewan termasuk membaling botol air dengan penyokong Subramaniam.

Kedua-dua kumpulan diasingkan oleh polis anti rusuhan dan kekecohan itu berakhir tanpa kejadian tidak diingini dalam masa setengah jam.

 

 

Lihat Komen
ADS